am@hmetro.com.my
Serdang: Kemeriahan sesi pendaftaran penuntut baharu Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2026/2027 hari ini turut dihiasi kisah berbeza dalam kalangan mahasiswa yang memulakan kehidupan baharu di universiti itu.
Bagi Norsarina Abdullah, 21, kehilangan bapa dua tahun lalu tidak menghalang dia meneruskan pengajian di universiti awam itu, malah dia sanggup meninggalkan keluarga di Ketiau, Putatan, Sabah untuk mengejar cita-cita di Semenanjung.
Anak ketiga daripada empat beradik itu bakal mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu selepas mendapat sokongan dan bantuan UPM menerusi Inisiatif Ziarah Kasih.
Katanya, pihak UPM sebelum ini mengunjungi keluarganya di Sabah dan menyalurkan sumbangan bagi membantu urusan pendaftaran pengajian.
“Saya sebenarnya tidak begitu selesa berjauhan daripada keluarga, tetapi demi cita-cita dan harapan orang tua yang ingin melihat saya berjaya, saya ambil risiko ke sini.
“Saya cuma berharap dapat melakukan yang terbaik serta belajar bersungguh-sungguh,” katanya ketika ditemui.
Seramai 4,824 penuntut baharu mendaftar di UPM bagi sesi akademik 2026/2027, membabitkan kampus di Serdang dan Sarawak, termasuk 194 pelajar di UPM Sarawak.
Atlet bola jaring negara, Siti Nur Hidayatul Akhma Suhhaimi, 20, pula berkata, kemasukan ke UPM membuka peluang untuknya melanjutkan pengajian sambil mengembangkan lagi potensi dalam sukan yang diceburinya sejak berusia 11 tahun.
Melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan, Siti Nur Hidayatul sebelum ini meraih pingat emas bersama pasukan dalam Sukan SEA 2025 di Thailand dan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, selain muncul naib juara Remaja Asia 2025.
Sementara penuntut Orang Asli, Hazaril Hakimi Hassan, 20, yang memperoleh keputusan 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) berkata, UPM sememangnya menjadi pilihan pertamanya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kecemerlangan ditunjukkan pemuda itu turut diiktiraf menerusi Anugerah Pelajar Orang Asli Terbaik Kebangsaan STPM.
© New Straits Times Press (M) Bhd




