NSFC perlu perbaiki prestasi

NSFC perlu perbaiki prestasi

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) dituntut meningkatkan kualiti permainan pada aksi Liga Super akan datang, sekali gus keluar dari kedudukan tercorot liga.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan negeri merangkap Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Mustapha Nagoor berkata, berada di tempat tercorot dalam carta liga cukup mengecewakan semua pihak terutama penyokong.

Katanya, walaupun kelab membawa masuk dua pemain import terbaharu iaitu Sebastian Avanzini dan Ricardo Pires, belum nampak perubahan ketara dipamerkan pasukan.

“Kehadiran dua pemain import ini seharusnya mampu memberi impak lebih positif pada persembahan pasukan.

“Setakat ini, saya lihat Avanzini lebih menyerlah selepas menjaringkan gol pada perlawanan menentang Penang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC.

“Bagaimanapun, Pires dilihat belum mendapat rentak termasuk gagal menyempurnakan sepakan penalti, jadi semua pemain NSFC perlu memperbaiki prestasi pada perlawanan akan datang,” katanya selepas sumbangan kerajaan negeri kepada Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) bagi penganjuran Kejohanan Golf Amatur Terbuka Negeri Sembilan 2024, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top