Nuklear: Iran terpaksa tindak balas jika diserang Amerika

Nuklear: Iran terpaksa tindak balas jika diserang Amerika

– Advertisement –

TEHRAN: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei berjanji bertindak balas sekiranya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melaksanakan ancamannya untuk mengebom Republik Islam itu.

Trump pada awal minggu ini mengancam Iran dengan serangan bom dan tarif sekunder jika Tehran tidak mencapai persetujuan bersama Washington berhubung program nuklearnya.

Nada lebih keras itu turut disertai ugutan untuk melakukan serangan yang belum pernah disaksikan sebelum ini, selain berikrar perkara sangat buruk akan berlaku ke atas Iran jika perjanjian gagal dicapai.

Penasihat Khamenei, Ali Larijani menurut laporan Reuters menegaskan bahawa negara itu tidak akan mempunyai pilihan selain senjata nuklear, jika diserang Amerika atau sekutunya, susulan ancaman tersebut.

“Kami tidak bergerak ke arah (senjata) nuklear, tetapi jika anda melakukan sesuatu yang salah dalam isu nuklear Iran, anda akan memaksa Iran untuk bergerak ke arah itu kerana perlu mempertahankan diri,” katanya dalam satu temu bual di televisyen Iran.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sebelum Khamenei terlebih dahulu mengulangi dasar ditegaskan Menteri Luarnya bahawa republik tidak akan terlibat dalam rundingan langsung dengan AS selagi Washington meneruskan tekanan maksimum dan ancaman ketenteraan terhadapnya.

“Rundingan langsung (dengan AS) telah ditolak, tetapi Iran sentiasa terlibat dalam rundingan tidak langsung dan kini pemimpin tertinggi telah menegaskan rundingan tidak langsung masih boleh diteruskan,” katanya.

Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar menurut laporan Agency dilihat menyerlahkan ‘campur tangan’ rejim itu apabila menyatakan perlunya ada pertimbangan untuk menghentikan program nuklear Iran sebelum ia mencapai tahap persenjataan.

Penganalisis berkata, Iran mungkin hanya memerlukam beberapa minggu lagi untuk mengupayakam menghasilkan senjata nuklear yang boleh digunakan, walaupun Tehran menafikan sedang membina senjata tersebut.

Namun, penganalisis juga bersetuju bahawa sebarang serangan ke atas Iran boleh membawa kepada konflik yang lebih meluas.

Ali Larijani menegaskan, negara itu tidak mahu melakukan tindak balas menggunakan nuklear jika diserang oleh Amerika, namun Iran tidak mempunyai pilihan lain kerana telahpun diancam menerusi ketenteraan.

“Jika pada satu ketika anda (AS) bertindak mengebom sendiri atau melalui Israel, anda akan memaksa Iran untuk membuat keputusan yang berbeza,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 2/4/2025

– Advertisement –

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Scroll to Top