Nur Iman Syamimi ibarat kanak-kanak sejak menghidap kanser otak tahap empat

Nur Iman Syamimi ibarat kanak-kanak sejak menghidap kanser otak tahap empat

am@hmetro.com.my

Jitra: Kehidupan Nur Iman Syamimi Muhammad Shauki, 13, berubah seperti kanak-kanak kecil ejak disahkan menghidap kanser otak walaupun dia sudah memasuki usia remaja.

Pertuturannya seperti kanak-kanak baru belajar bercakap selain minum dalam botol susu dan memakai lampin pakai buang sepanjang masa.

Ini disebabkan tumor itu mengganggu sistem saraf otaknya menyebabkan dia tidak membesar seperti rakan sebayanya yang lain.

Ibunya, Sharifah Noraliza Sharif Nordin, 38, berkata, anaknya kini hanya terlantar kerana tidak dapat berjalan dan hilang penglihatan akibat tumor itu.

Katanya, dia mengesyaki perubahan anak sulung daripada tiga beradik itu apabila Nur Iman Syamimi berjalan dalam keadaan tidak stabil serta tidak lalu makan sejak Januari lalu.

“Dia pegang cawan pun terketar-ketar dan kalau dia makan makanan berangin, memang dia akan sakit. Saya bawa dia ke klinik tetapi doktor hanya beri ubat gastrik.

“Disebabkan keadaan kesihatannya tidak berubah, saya bawa ke klinik kesihatan kerajaan untuk menjalani rawatan lanjut dan doktor kemudian mengesyaki dia menghidap thyroid serta menjalani ujian darah. Namun, semuanya okey,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala Bukit, Mukim Padang Perahu, di sini.

Bercerita lanjut, keadaan kesihatan anaknya semakin merosot pada Ogos lalu sehingga terpaksa dipimpin ketika berjalan sewaktu menjalani rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Katanya, doktor mengesahkan ada ketumbuhan dan cecair pada otak anaknya selepas menjalani rawatan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

“Waktu itu dia berjalan pun tak stabil hingga terpaksa saya atau ayahnya pimpin, malah penglihatan tidak nampak cuma nampak imej hitam.

“Kadang-kadang dia cakap pun tak faham, kena tanya banyak kali baru faham apa yang dia nak.

“Dia hanya sempat bersekolah tiga bulan sebelum menangguhkan sementara persekolahannya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Megat Dewa sejak dia sakit,” katanya.

Sharifah Noraliza berkata, anaknya turut menjalani pembedahan di HSB memasukkan tiub untuk mengeluarkan cecair dalam kepalanya.

Katanya, namun keadaannya hanya elok sebulan saja sebelum tiub itu tersumbat dan perlu diganti untuk dimasukkan ke sebelah kanan melalui pembedahan ketiga.

“Selepas menjalani pembedahan keempat, barulah doktor mengesahkan anak saya menghidap kanser otak tahap empat.

“Mulanya saya tak boleh terima kenyataan yang anak saya hidap kanser, tapi selepas itu saya reda kerana ini adalah ujian Allah.

“Anak saya pernah cakap, kakak reda kalau Allah bagi kakak sakit dan sekarang dia bercakap pun macam kanak-kanak baru belajar bercakap,” katanya.

Menurutnya, suami, Muhammad Shaukhi Ghazali, 43, hanya bekerja menjual kelapa dari pokok di halaman rumah manakala dia pula tidak bekerja.

Katanya, mereka terpaksa menggunakan wang yang ada untuk membawa anak ke HSB selain membeli lampin pakai buang empat bungkus sebulan selain susu formula khas yang satu tin besar bertahan hanya empat hari.

“Dengan keadaan kami serba kekurangan ini, memang tak mampu..apatah lagi kami mempunyai dua anak lagi, Nur Sumayyah, 6, dan Nur Suhaila, 4,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang berhasrat untuk membantu pesakit boleh membuat sumbangan melalui akaun Bank Islam 09010020561955.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal menziarahi pesakit itu dan menghulurkan sumbangan termasuk susu formula khas, wang tunai dan barangan keperluan dapur dan katil pesakit untuk keselesaannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top