syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon Nurel Baharin, 24, kini sah bergelar isteri kepada pilihan hatinya, Esmeer Mansor, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Kelab Golf Sarawak, Kuching jam 8 pagi tadi.
Nurel meluahkan rasa syukur apabila majlis yang dirancang berjalan lancar, namun tidak dapat menyembunyikan perasaan gementar menjelang hari bahagianya.
“Dari minggu lalu saya rasa gementar, dengan majlis lagi, dengan kawan-kawan dan keluarga dari Semenanjung nak datang. Semua itu saya risau dan fikir sama ada mereka okey atau tidak.
“Alhamdulillah, selepas nikah tadi, saya dapat jumpa semua dan majlis pun berjalan dengan lancar,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi peribadi suaminya, Nurel menyifatkan Esmeer sebagai seorang lelaki yang matang serta memenuhi semua kriteria lelaki idaman yang dicarinya.
“Esmeer tunjuk penuh kesungguhan untuk sahkan saya sebagai seorang isteri. Dia tak teragak-agak untuk jumpa keluarga dan terus merancang segala-galanya selepas keluarga saya beri ‘lampu hijau’,” katanya.
Majlis pernikahan secara tertutup itu disempurnakan dengan mas kahwin wang tunai sebanyak RM300.
Mengulas mengenai alam rumahtangga dan kerjaya seni, Nurel mengakui berasa teruja untuk melangkah ke fasa baharu dan bersyukur kerana suaminya tidak pernah menghalang minatnya dalam bidang lakonan.
“Saya bersyukur sekarang sudah menjadi seorang isteri dan paling teruja nak menyesuaikan diri dengan kehidupan baharu sebagai isteri dan pelakon pada masa yang sama.
“Esmeer pun tak pernah halang saya dari terus berkarya. Insya-Allah, saya sentiasa percaya pada rezeki Allah dan rezeki selepas berkahwin. Saya juga berharap semua akan tetap memberi sokongan kepada kerjaya saya,” katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis adalah rakan artis antaranya Zarif Ghazzi, Aizat Saha, Farees Asri, Aniq Suhair, Fimie Don dan ramai lagi.
Dalam perkembangan lain, penonton dan peminat Nurel bakal menyaksikan penampilannya menerusi filem terbaharu berjudul Kacau yang dijadualkan tayangannya pada akhir tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd
