Nyamuk tropika buat pertama kali ditemukan di Semenanjung Korea

Nyamuk tropika buat pertama kali ditemukan di Semenanjung Korea

Seoul: Sejenis nyamuk dikenali sebagai Culex quinquefasciatus, ditemukan buat kali pertama di pulau paling selatan Korea Selatan, Jeju.

Memetik The Straits Times, Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengesahkan, sampel nyamuk yang dikumpul pada Ogos lalu termasuk spesies yang biasanya hidup di kawasan tropika atau subtropika itu.

Difahamkan, nyamuk ini tergolong dalam kompleks spesies C pipiens, namun hidup di kawasan yang lebih hangat daripada Korea Selatan.

Spesies ini pernah disenaraikan dalam penyelidikan pada 1956 sebagai sebahagian daripada fauna Korea Selatan, tetapi kali ini kehadirannya disahkan secara rasmi.

Dalam pada itu, KDCA berkata, nyamuk berkenaan ditemukan di beberapa kawasan di Jeju, menunjukkan ia sudah membentuk habitat yang boleh didiami.

Sampel dikumpul sebagai sebahagian daripada pemantauan kerajaan terhadap penyebaran penyakit berjangkit.

Sementara itu, seorang pegawai KDCA berkata, punca nyamuk itu tiba di Jeju tidak jelas, tetapi Korea Selatan kini menjadi persekitaran sesuai untuk spesies ini.

Pegawai itu menambah, pemantauan akan diteruskan untuk melihat sama ada nyamuk ini sudah merebak ke kawasan lain selain Jeju pada musim pemantauan akan datang.

Laporan Kementerian Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar 2023 pula menunjukkan purata suhu Korea Selatan meningkat 1.6 darjah Celsius dari 1912 hingga 2020, lebih cepat berbanding purata dunia.

Pakar menjelaskan, nyamuk itu berpotensi menjadi pembawa beberapa penyakit manusia termasuk virus Nil Barat.

Bagaimanapun, virus Nil Barat wujud di Korea Selatan melalui spesies nyamuk lain dan tiada jangkitan dilaporkan setakat ini.

KDCA menekankan, kehadiran nyamuk baru ini tidak semestinya meningkatkan risiko Nil Barat, tetapi memberi pihak berkuasa satu lagi vektor untuk dipantau.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top