PENJAGA gol Manchester United, Andre Onana terkejut apabila gajinya dipotong musim ini selepas kelab gagal layak ke Liga Juara-Juara, lapor portal The Athletic.
Pemain berusia 29 tahun itu mengalami musim yang suram minggu lalu apabila melakukan dua kesilapan yang membawa kepada jaringan ketika seri 2-2 menentang Lyon dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa.
Situasi itu menyebabkan Onana digugurkan sepenuhnya daripada skuad ketika perlawanan Liga Perdana Inggeris yang menyaksikan United tewas 4-1 kepada Newcastle pada Ahad.
Difahamkan, Onana yang menyertai United dari Inter Milan pada musim panas 2023, turut membincangkan isu pemotongan gaji itu dengan bekas pengarah sukan, Dan Ashworth.
Walaupun prestasinya merosot teruk, laporan itu menyebut United kemungkinan besar akan mengekalkan penjaga gol Cameroon tersebut kerana kelab tidak mampu menjualnya pada harga kurang daripada £26 juta (RM152 juta).
Onana menandatangani kontrak lima tahun di Old Trafford dan nilai pembelian beliau kini dianggarkan sekitar £26 juta berdasarkan pengiraan kontrak.
Sekiranya dijual di bawah nilai itu, United akan merekodkan kerugian dalam laporan kewangan dan ia sesuatu yang sukar diterima memandangkan kedudukan kewangan kelab yang tidak stabil.
Sejak permulaan musim 2023/2024, Onana telah melakukan sembilan kesilapan yang membawa kepada gol iaitu jumlah tertinggi dalam kalangan penjaga gol EPL sepanjang tempoh tersebut.