Op Taring Landai: Penyelewengan diesel bernilai RM949,160 terbongkar di Masai

Op Taring Landai: Penyelewengan diesel bernilai RM949,160 terbongkar di Masai

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan kegiatan penyelewengan 23,000 liter minyak diesel bersubsidi bernilai RM949,160 dalam satu serbuan di Jalan Penaga, Taman Kota Puteri, Masai, di sini semalam.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Noor Azman Jamal berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 11.45 pagi itu, seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun yang berperanan sebagai pengedar turut ditahan.

Katanya, Op Taring Landai berkenaan dilaksana Unit Risik Marin (URM) Johor terhadap dua buah lori di lokasi berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemeriksaan membawa kepada penemuan sejumlah minyak diesel yang disimpan di dalam tangki petak (square tank) di bahagian belakang lori berkenaan.

“Hasil soal siasat awal dan pandu arah daripada suspek kemudiannya membawa pasukan polis kepada penemuan tiga lagi lori yang diletakkan di tepi jalan berhampiran premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, secara keseluruhan pihaknya merampas lima buah lori iaitu dua lori jenis Isuzu berwarna hijau, dua lori Hino berwarna putih dan sebuah lori Mitsubishi Fuso berwarna hijau.

Tambahnya, turut disita dalam operasi berkenaan ialah 23,000 liter minyak diesel, 24 buah tangki petak serta dua buah pam elektrik berserta hos.

“Tangkapan dan semua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top