syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-33, pelakon, Aedy Ashraf meluahkan rasa syukur dan menghargai pengorbanan insan paling bermakna dalam hidupnya iaitu ibu dan kakaknya.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, Aedy atau nama sebenarnya Mohammad Addy Ashraf Rosmadi berkongsi niat murninya memberikan hadiah khas buat dua insan kesayangannya itu iaitu sebuah kereta berjenama iCaur.
Menurut pelakon filem Tarung : Unforgiven itu, dia percaya keberkatan serta kejayaan yang dinikmatinya hingga kini adalah berkat doa tanpa henti daripada ibu dan kakaknya.
“Aku hadiahkan juga sesuatu untuk ibu dan kakak aku sempena hari jadi aku. Aku percaya, antara sebab aku masih berdiri dan bernafas sampai hari ini adalah kerana doa mereka yang tak pernah putus,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Aedy turut menyifatkan sebarang pemberian daripadanya tidak akan pernah dapat menandingi pengorbanan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh mereka sepanjang hayatnya.
“Apa yang saya berikan tidak akan pernah dapat dibandingkan dengan segala pengorbanan, kasih sayang dan doa mereka untuk saya.
“Alhamdulillah, untuk satu lagi tahun kehidupan, dan untuk mereka yang sentiasa ada,” tulisnya.
Perkongsian tersentuh hati itu menerima pelbagai reaksi positif daripada peminat yang turut membanjiri ruang komen dengan ucapan ulang tahun kelahiran serta mendoakan kesejahteraan dan kejayaan berterusan buat pelakon berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




