'Orang kata saya berhenti TLDM sebab ada kesalahan, itu tipu' – Calon PN

'Orang kata saya berhenti TLDM sebab ada kesalahan, itu tipu' – Calon PN

nfazlina@bh.com.my

Gua Musang: Calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail menafikan dakwaan beliau berhenti sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana melakukan kesalahan.

Mohd Rizwadi yang bertanding menggunakan logo Pas sebaliknya berkata, beliau sudah merancang untuk berhenti awal daripada tempoh perkhidmatannya.

“Selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menyertai TLDM iaitu bermula 2003 dan sepanjang berkhidmat selama 13 tahun, saya ditugaskan di Sabah, Lumut, Perak dan yang terakhir di Pahang.

“Ketika berada di Pahang, saya mengambil keputusan untuk berhenti awal dan pada Januari 2015, saya secara rasmi tamat perkhidmatan dalam TLDM.

“Namun dalam TikTok, ada yang kata saya berhenti kerana ada kesalahan, tidak mengapalah mereka yang menipu dapat dosa, saya pula dapat pahala,” katanya ketika menyampaikan ceramah di Unit Daerah Mengundi (UDM) Serian, di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut Mohd Rizwadi berkata, selepas hampir dua tahun sebaik tamat perkhidmatan dalam TLDM, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halamannya di Bertam Lama, di sini.

“Selepas pulang ke kampung, saya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah sehinggalah dilamar menjadi Pembantu Dakwah Halaqat dan kini saya sebagai Pengelola Dakwah Halaqat di Gua Musang.

“Alhamdulillah kini saya diberi peluang menjadi calon di PRK Nenggiri dan sepanjang tempoh berkempen, saya memanfaatkan masa sebaik mungkin bagi bertemu pengundi.

“Rutin sepanjang tempoh berkempen, seawal Subuh saya sudah bertemu dengan penduduk kampung dan jadual kempen akan berlarutan sehingga malam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd