Ipoh: Polis mengesahkan seorang kerani wanita mengalami kerugian RM970,000 selepas terperdaya sindiket penipuan yang menyamar sebagai pengurus syarikat di tempatnya bekerja menerusi aplikasi WhatsApp semalam.
Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Khalid Mohamad berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 11 pagi daripada mangsa berusia 31 tahun yang bekerja di sebuah syarikat pengedar makanan.
“Dalam kejadian itu, mangsa menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp yang disangka dihantar oleh pengurus syarikat berkenaan.
“Suspek dipercayai telah menggodam dan mengambil alih komunikasi telefon bimbit pengurus syarikat serta mengarahkan mangsa membuat beberapa transaksi kewangan bagi tujuan urusan syarikat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Khalid berkata mangsa melakukan tiga transaksi pemindahan wang secara berasingan berjumlah RM970,000 seperti yang diarahkan oleh suspek ke dalam dua akaun bank berbeza.
“Selepas itu, suspek masih meminta mangsa membuat transaksi tambahan, menyebabkan mangsa mula berasa curiga.
“Kemudian mangsa telah menghubungi pengurus syarikat untuk pengesahan dan dimaklumkan tidak pernah mengarahkan sebarang transaksi berkenaan.
“Mangsa menyedari dirinya telah diperdaya dan terus membuat laporan polis,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




