bhnews@bh.com.my
SEREMBAN: Mereka yang terbabit dengan pembatalan Ordinan Darurat tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dulu harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan itu dilihat mencemarkan institusi Parlimen, sekali gus menjadi titik hitam dalam sejarah demokrasi berparlimen negara.
“Tindakan kerajaan, khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengundang murka Yang di-Pertuan Agong.
“Mereka tidak melaksanakan titah Seri Paduka supaya cadangan pembatalan Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Al-Sultan Abdullah hari ini menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana belum diperkenan baginda.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan yang diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, tidak dilaksanakan.
“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.
“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.
“Ia bukan saja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan Istana Negara
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, tindakan kerajaan dalam perkara itu adalah tidak berparlimen dan tidak berperlembagaan.
Malah, katanya, ia dilihat meletakkan kedudukan mulia institusi raja pada kedudukan yang tidak sewajarnya.
“Justeru, mereka yang berkaitan harus mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




