KADAR pembatalan tempahan rumah dijangka meningkat pada peringkat awal sekiranya mekanisme Pilihan untuk Membeli (OTP) dilaksanakan.
Namun, keadaan itu disifatkan lebih sihat kerana pembeli membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar, bukannya meneruskan pembelian kerana bimbang kehilangan deposit.
Pakar kewangan dan hartanah, Dr Azizul Azli berkata, sebelum ini ramai pembeli meneruskan pembelian walaupun berdepan keraguan terhadap kelayakan pinjaman atau kedudukan kewangan kerana wujud halangan untuk menarik diri daripada urus niaga.
Menurutnya, keadaan itu dikenali sebagai barrier to exit iaitu situasi apabila pembeli berasa terpaksa meneruskan pembelian selepas membayar wang tempahan atau deposit yang sebahagiannya tidak boleh dikembalikan.
“Sebenarnya kita boleh jangkakan perkara ini (kadar pembatalan meningkat). Biasanya apabila ada halangan, orang yang sudah membuat tempahan akan terpaksa meneruskan pembelian.
“Tetapi apabila barrier to exit ini direndahkan, pembeli lebih mudah membuat keputusan berdasarkan kemampuan sebenar. Mereka bukan membuat keputusan secara emosional, sebaliknya selepas benar-benar bersedia dari segi kewangan,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Bagaimanapun, jelas beliau, dalam ekosistem hartanah, peningkatan pembatalan pada peringkat awal tidak seharusnya dilihat sebagai kelemahan mekanisme itu kerana ia membantu mewujudkan gambaran permintaan pasaran yang lebih tepat.
Katanya, pemaju tidak lagi boleh menganggap jumlah tempahan sebagai jualan yang pasti dimuktamadkan selagi Perjanjian Jual Beli (SPA) belum ditandatangani.
“Lebih baik orang batal pada peringkat awal. Maknanya, dia memang tidak mahu membeli, jadi pemaju boleh membina unit berdasarkan permintaan dan penawaran yang betul, bukan sekadar anggaran. Jadi, OTP sebenarnya memberi kesan yang baik kepada kedua-dua pihak iaitu pemaju dan pembeli.
“Kalau tidak, pemaju mempunyai komitmen yang besar dan bank juga terpaksa mengeluarkan pembiayaan berdasarkan andaian. Pemaju mungkin kata mahu membina 500 unit, tetapi hakikatnya pembeli yang benar-benar mahu membeli mungkin hanya 100 unit sahaja,” jelasnya lagi.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dijangka memperkenalkan OTP pada hujung tahun ini yang bertujuan memberikan fleksibiliti lebih besar kepada pembeli rumah dan pemaju untuk menarik diri sebelum menandatangani SPA.
Mekanisme berkenaan dijangka membantu mengurangkan risiko projek terbengkalai, sekali gus melindungi kepentingan pengguna serta memastikan kelestarian industri hartanah negara.
Mengulas lanjut, Azizul berkata, OTP juga dapat melindungi deposit pembeli dan memberi masa kepada mereka untuk membuat penilaian semula, termasuk menyemak kemampuan kewangan dan profil kewangan sebelum membuat keputusan.
“Kadang-kadang pembeli sudah membayar deposit, dan jumlahnya bukan sedikit. Kalau harga rumah RM300,000, deposit 10 peratus sudah RM30,000.
“Walaupun deposit itu tidak hilang sepenuhnya, terdapat beberapa peratus yang boleh diambil oleh pemaju berdasarkan persetujuan pada waktu itu. Jadi, perkara seperti ini sebenarnya merugikan pembeli yang membuat keputusan berdasarkan emosi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan kerajaan supaya memperhalusi pelaksanaan OTP agar tidak membuka ruang kepada pembelian spekulatif yang boleh menjejaskan pasaran hartanah.
Katanya, sekiranya fi OTP ditetapkan terlalu rendah tanpa penalti yang munasabah, terdapat kemungkinan individu menempah banyak unit di beberapa projek hanya untuk mengunci lot sebelum membatalkannya pada saat akhir.
“Kalau fi OTP murah tanpa penalti yang munasabah, ada orang akan mengunci banyak hartanah. Pemaju nampak macam sudah ada 100 tempahan, tetapi pada saat akhir semua orang batal,” ujarnya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan menetapkan tempoh sah OTP melalui konsep tempoh bertenang (cooling-off period), mewujudkan garis panduan kadar penalti yang adil dan menempatkan wang tempahan dalam akaun pemegang amanah.
Menurutnya, langkah itu dapat memastikan proses pemulangan deposit lebih telus dan mengurangkan pertikaian antara pembeli dengan pemaju.
Info
Apa itu OTP (Pilihan untuk membeli)
> OTP ialah mekanisme yang dicadangkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memberi fleksibiliti kepada bakal pembeli rumah dan pemaju untuk membuat keputusan sebelum Perjanjian Jual Beli (SPA) ditandatangani.
> Pembeli menyatakan hasrat untuk membeli unit kediaman tertentu.
> Pembeli dan pemaju diberi tempoh tertentu untuk menilai keputusan masing-masing sebelum komitmen penuh dibuat.
> Kedua-dua pihak boleh memilih untuk meneruskan atau menarik diri mengikut syarat yang ditetapkan.
> Jika bersetuju meneruskan urus niaga, Perjanjian Jual Beli (SPA) akan ditandatangani.
Manfaat OTP untuk pembeli
> Lebih masa untuk membuat keputusan pembelian.
> Fleksibiliti sebelum terikat dengan komitmen jual beli.
> Mengurangkan risiko membuat keputusan secara tergesa-gesa.
