Oyarzabal pastikan Sepanyol seri dengan Turkiye

Oyarzabal pastikan Sepanyol seri dengan Turkiye

Seville: Sepanyol memastikan tiket ke Piala Dunia 2026 selepas seri 2-2 dengan Turkiye dalam perlawanan kelayakan terakhir mereka, awal pagi tadi, sekali gus mendahului Kumpulan E.

Turkiye menamatkan saingan di tempat kedua dan akan bertanding dalam playoff selepas menjadi pasukan pertama yang memaksa skuad juara Euro 2024 bimbingan Luis de la Fuente itu kehilangan mata.

Dani Olmo meletakkan Sepanyol di depan, tetapi Deniz Gul dan Salih Ozcan menjaringkan gol untuk Turkiye.

Mikel Oyarzabal membalas untuk menyamakan kedudukan di Seville bagi Sepanyol yang mahu memenangi trofi bola sepak terbesar dunia untuk kali kedua.

Secara keseluruhan, Sepanyol menjaringkan 21 gol dalam kelayakan dan hanya bolos dua kali serta tidak pernah tewas dalam rekod kebangsaan 31 perlawanan berturut-turut.

Bagaimanapun, rekod itu termasuk seri 2-2 dalam final Liga Negara-Negara dengan Portugal selepas masa tambahan pada Jun, apabila Sepanyol tewas melalui penentuan sepakan penalti.

Turkiye menunjukkan betapa pasukan De la Fuente tidak sempurna, walaupun Sepanyol kehilangan beberapa pemain penting termasuk Lamine Yamal, Nico Williams dan Rodri.

“Ada banyak kerja yang perlu dilakukan dan masa untuk memikirkan banyak perkara, tetapi kami akan bersiap dengan baik,” kata De la Fuente, yang terkejut aabila pemain Barcelona, Yamal, trpaksa menjalani rawatan kecederaan pangkal paha sehingga tidak dapat bermain pada aksi kelayakan terakhir.

“Saya harap boleh membawa pemain terbaik yang kami ada di Sepanyol untuk bertanding dan cuba memenangi kejohanan indah ini,” tambahnya.

Mereka tahu untuk layak ke Piala Dunia ke-13 berturut-turut, mereka hanya perlu mengelak daripada tewas dengan margin tujuh gol dan ia tidak pernah berlaku.

Malah, mereka boleh menang besar jika bukan kerana penjaga gol Manchester United, Altay Bayindir, membuat beberapa penyelamatan cemerlang buat Turkiye.

“Kami mahu menamatkan dengan kemenangan dan gawang tidak bolos, ia manis-pahit, tetapi kami gembira layak ke Piala Dunia,” kata Olmo kepada TVE.

“Mereka ada peluang dan kami pun sama, mungkin ada lebih banyak gol.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top