PELANCARAN Sustainable Islamic Finance Framework oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mencatat tiga pencapaian penting apabila ia menjadi rangka kerja pertama di Malaysia yang menggabungkan pembiayaan biru (blue finance), rangka kerja pertama menerima Penarafan Platinum serta rangka kerja pembiayaan Islam mampan pertama di negara ini.
Dibangunkan bersama Maybank Investment Bank Berhad sebagai Sole Sustainability Structuring Adviser dan RAM Sustainability Sdn. Bhd. sebagai Second Party Opinion Provider, ia mencerminkan komitmen PAAB memperkukuh pembiayaan mampan bagi industri perkhidmatan air negara, sekali gus menyokong jaminan bekalan air jangka panjang dan memacu pembangunan infrastruktur yang lebih lestari.
Pengerusi PAAB, Datuk Seri Jaseni Maidinsa berkata, rangka kerja ini menyediakan platform komprehensif bagi membolehkan PAAB menyelaraskan aktiviti pembiayaannya dengan prinsip kemampanan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta nilai teras kewangan Islam.
Menurut beliau, ia turut menjadi asas kepada penerbitan Sukuk Mampan dan Sukuk Biru pada masa hadapan bagi menyokong pelaburan dalam aset infrastruktur berkaitan air serta projek yang mampan dari segi alam sekitar.
“Sejak penubuhannya pada 2006, PAAB memainkan peranan penting dalam menyokong penstrukturan semula dan pembangunan industri perkhidmatan air negara melalui pembiayaan mampan serta pelaburan strategik dalam infrastruktur.
“Sepanjang dua dekad lalu, PAAB telah mengambil alih hutang pinjaman air berjumlah RM23.04 bilion, merangkumi RM7.96 bilion pinjaman Kerajaan Persekutuan dan RM15.08 bilion hutang komersial melibatkan 10 operator air yang telah berhijrah di bawah pelaksanaan penstrukturan semula industri air negara,” katanya pada majlis pelancaran Sustainable Islamic Finance Framework di Menara Felda, Selasa.
Beliau menambah, PAAB turut memperuntukkan RM23.84 bilion bagi pembangunan aset infrastruktur air baharu serta menaik taraf aset sedia ada di seluruh negara.
“Sehingga 31 Disember 2025, jumlah keseluruhan pelaburan yang telah diambil alih dan komitmen pelaburan PAAB dalam industri perkhidmatan air Malaysia mencecah RM46.88 bilion, merangkumi penyediaan infrastruktur kritikal termasuk loji rawatan air, tangki air dan rangkaian saluran paip di seluruh Semenanjung Malaysia,” katanya
Tambah Jaseni, peningkatan keperluan infrastruktur air negara menuntut keupayaan pembiayaan dan penyelesaian kewangan lebih kukuh.
“Rangka kerja ini merupakan evolusi dalam platform pembiayaan PAAB. Ia memperkukuh keupayaan kami untuk menggerakkan modal secara bertanggungjawab serta menyelaraskan pembiayaan dengan prinsip kemampanan antarabangsa dan nilai teras kewangan Islam.
“Ia juga membolehkan PAAB mengakses kumpulan pelabur yang lebih luas berfokuskan kemampanan, mempelbagaikan sumber pembiayaan serta membuka laluan kepada penerbitan Sukuk Mampan dan Sukuk Biru pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, perjalanan PAAB sentiasa berpandukan visi jangka panjang, termasuk pelaksanaan Full Cost Recovery Road Map sejak 2008 bagi mencapai kemampanan kewangan, kecekapan operasi dan daya tahan jangka panjang menjelang 2050.
Sementara itu, hadir merasmikan pelancaran, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, PAAB merupakan pemegang amanah aset air negara yang ditubuhkan bagi menyokong pembangunan serta pembiayaan infrastruktur air melalui pemilikan aset jangka panjang dan amalan pembiayaan berdisiplin.
“Peranan ini amat penting kerana pembaharuan sektor air memerlukan institusi yang mampu merancang untuk jangka panjang, mengumpul modal secara bertanggungjawab serta menyokong aset yang menjadi sandaran operator air berlesen dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Ini merupakan pencapaian penting bukan sahaja kepada PAAB sebagai institusi, malah kepada sektor perkhidmatan air serta ekosistem pembiayaan Islam mampan Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, rangka kerja ini menyediakan platform berstruktur bagi menarik penyertaan pelabur swasta dan institusi kewangan, sekali gus membolehkan pembaharuan serta pembangunan infrastruktur air dibiayai dengan mengurangkan tekanan terhadap kewangan awam.
Ini seterusnya mempercepatkan pembangunan dan naik taraf aset penting yang diperlukan rakyat.
Ujarnya, Malaysia menerbitkan Sukuk Hijau pertama di dunia pada 2017 bagi membiayai projek tenaga solar di Sabah, serta Sukuk Kemampanan Berdaulat dalam denominasi dolar AS pada 2021 yang pertama seumpamanya di dunia dan mendapat sambutan menggalakkan pelabur.
“Hari ini Malaysia kekal sebagai pasaran sukuk terbesar dunia dengan menguasai kira-kira 36 peratus daripada jumlah sukuk global yang masih beredar sehingga akhir 2024.
“Berlandaskan kekuatan ini, rangka kerja PAAB memperluaskan inovasi pembiayaan Islam melalui integrasi pembiayaan biru ke dalam struktur Islam, sekali gus membuka laluan kepada penerbitan Sukuk Biru pertama Malaysia bernilai sehingga RM500 juta, tertakluk kepada keadaan pasaran dan kelulusan pihak berkuasa,” katanya.
Pada masa sama, rangka kerja ini mewujudkan saluran bagi modal patuh Syariah disalurkan kepada pembangunan infrastruktur air negara.
Ia membolehkan pelabur menyokong projek yang mengurangkan kehilangan air, memperkukuh bekalan serta melindungi sumber air negara, sekali gus menjadikan jaminan bekalan air sebagai keutamaan pelaburan nasional berasaskan disiplin pasaran modal dan akauntabiliti.



