Empat daripada enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Johor yang disyaki terbabit dalam kes buli disingkirkan daripada institusi itu selepas Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM bersidang dan membuat keputusan terhadap kes berkenaan.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dua lagi pelajar pula digantung sementara menunggu pengesahan daripada pihak polis berhubung penglibatan mereka, termasuk sama ada berlaku sentuhan fizikal terhadap mangsa.
Menerusi hantaran di Facebook pada Selasa, beliau mengakui keputusan itu bukan sesuatu yang mudah, namun tindakan tegas perlu diambil selaras dengan pendirian MARA terhadap isu buli.
“ALLAH sahaja yang tahu perasaan saya apabila enam orang pelajar diambil oleh ibu bapa masing-masing pagi tadi setelah JDM MRSM bersidang dan memutuskan untuk singkir mereka kerana kes buli.
“Namun, amaran berulang kali diberikan #YouTouchYouGo,” katanya.

Sebelum ini, seorang wanita yang dipercayai ibu kepada seorang pelajar MRSM mendakwa anak lelakinya terpaksa berhenti daripada institusi berkenaan selepas tidak lagi mampu menahan perbuatan buli yang didakwa dilakukan oleh pelajar senior.
Menurut wanita itu, anaknya membuat keputusan meninggalkan MRSM kerana tidak dapat memberi tumpuan kepada pembelajaran akibat menjadi mangsa buli yang berterusan.

Dalam perkembangan sama, Asyraf Wajdi berkata, pelajar-pelajar junior yang didakwa membawa barang terlarang turut sedang disiasat bagi mengenal pasti sama ada berlaku sebarang pelanggaran disiplin.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang kesalahan yang dilakukan oleh pelajar junior tidak boleh dijadikan alasan untuk pelajar lain mengambil tindakan sendiri sehingga melakukan perbuatan buli.
“Apa juga kesalahan yang dibuat oleh junior tidak sesekali menghalalkan perbuatan buli dengan mengambil tindakan sendiri, menghukum pelajar-pelajar terbabit.
“Apa-apa pun, saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Bahagian Pendidikan Menengah Mara dan JDM kerana mengambil tindakan segera dengan membuat siasatan dan mengadakan mesyuarat dalam tempoh 24 jam sebagaimana arahan saya,” ujarnya.




