Pablo Escobar Langkawi 2.0: Dakwaan anggota polis dalang rangkaian dadah sudah dalam siasatan, Bagok bakal didakwa

Pablo Escobar Langkawi 2.0: Dakwaan anggota polis dalang rangkaian dadah sudah dalam siasatan, Bagok bakal didakwa

am@hmetro.com.my

Langkawi: Rangkaian pengedaran dadah dikaitkan anggota polis di pulau ini sudah dalam siasatan dan tindakan pihak berkuasa, kata Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.

Beliau berkata, anggota polis yang dimaksudkan itu juga dalam pemerhatian serta tindakan selanjutnya.

“Sebab itu, baru-baru ini, Bukit Aman sendiri turun menjalankan operasi kerana kita mahu berlaku adil apabila ia berkait dengan anggota polis di Langkawi sendiri.

“Individu dikenali sebagai Bagok (ahli kumpulan sindiket) itu juga sudah ditahan selepas sebelum ini melarikan diri namun ketika ditahan tidak menemukan barang pengedaran dadah, jadi kita buat saringan ujian air kencing dan dia positif dadah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, Bagok kini dalam siasatan dan akan dituduh kerana positif dadah manakala dakwaan pembabitan anggota terbabit masih dalam siasatan.

“Sehubungan itu, saya meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan ini salur terus kepada pihak polis supaya tindakan dapat diambil.

“Jika ada maklumat berkaitan aktiviti ini segera lapor kepada pihak polis supaya rangkaian ini dapat dibanteras,” katanya.

Laporan eksklusif Harian Metro semalam mendedahkan, selepas kematian Pablo Escobar Langkawi Mat Nahar, enam tahun lalu, kini muncul semula satu rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi secara tersusun di sekitar kepulauan ini dipercayai didalangi seorang anggota polis dikenali ‘Mr A’.

Malah, konconya juga adalah individu sama sebelum ini yang menjadi ahli sindiket Mat Nahar, namun dipercayai bekerja bersama ‘Mr A’ selepas kematian ketua mereka yang dibunuh.

Hal itu menyebabkan masalah dadah di pulau peranginan terkemuka itu tidak pernah selesai walaupun pelbagai operasi dijalankan polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan Langkawi terus mencatatkan bilangan penagih yang ramai.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top