khairil.ashraf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Semua kelengkapan komunikasi termasuk pager dan walkie-talkie perlu diperakui sebagaimana yang ditetapkan di bawah peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemerakuan ini bertujuan untuk memastikan kelengkapan komunikasi mematuhi kod teknik atau standard yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meliputi aspek keselamatan elektrik, keserasian elektromagnetik, kesalingbolehkendalian dan penggunaan frekuensi radio.
“Setiap kelengkapan yang diperakui perlu memaparkan tanda atau label pemerakuan yang diluluskan oleh MCMC atau agensi pemerakuan yang berdaftar.
“Perubahan terhadap kelengkapan komunikasi boleh menyebabkan terbatalnya sebarang pemerakuan yang dikeluarkan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai langkah dan perancangan kementerian bagi memastikan tiada pengeksploitasian teknologi telekomunikasi bagi tujuan keganasan seperti yang berlaku di Lubnan apabila peranti pager dan walkie-talkie diletupkan sehingga mengorbankan ramai warga awam.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kelengkapan komunikasi turut tertakluk di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 yang melarang pengimportan kelengkapan komunikasi ke dalam negara kecuali dengan Sijil Pematuhan (COA).
“Ia bagi memastikan pematuhan kepada kod teknik atau standard yang ditetapkan oleh MCMC.
“Sehubungan itu, MCMC mendaftarkan SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM) sebagai agensi pemerakuan bagi menjalankan aktiviti-aktiviti pemerakuan kelengkapan komunikasi di Malaysia.
“Pihak Sirim juga dilantik oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai agensi yang bertanggungjawab bagi pengeluaran COA untuk kelengkapan komunikasi di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.
Beliau berkata, MCMC juga sentiasa memantau penjualan komunikasi di pasaran terbuka dan dalam talian, melalui beberapa program iaitu program pemantauan pasaran, program pengumpulan maklumat kelengkapan komunikasi dan program pemantauan kelengkapan komunikasi di platform dalam talian.
© New Straits Times Press (M) Bhd
