London: Crystal Palace dilihat ‘menyindir’ Liverpool secara bersahaja di laman sosial menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Piala Liga di Anfield minggu ini.
Akaun rasmi Palace di platform X memuat naik kenyataan ringkas berbunyi: “Menentang Liverpool sekali lagi. Kali ini dalam saingan Piala Carabao.”
Namun, yang mencuri perhatian penyokong adalah gambar pemain pertahanan Marc Guehi yang tersenyum lebar, seolah-olah satu isyarat ‘nakal’ mengingatkan kegagalan perpindahan pemain itu ke Liverpool pada hari akhir jendela perpindahan musim panas lalu.
Langkah itu mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong, lebih-lebih lagi selepas Palace dua kali menewaskan Liverpool, sekali dalam Perisai Komuniti Ogos lalu (menerusi penentuan penalti) dan satu lagi aksi liga sebulan lalu.
Ketika ini, Liverpool berada dalam prestasi tidak menentu, tewas lima daripada enam perlawanan terakhir dalam semua kejohanan, dan skuad kendalian Arne Slot dijangka berdepan tugas sukar sekali lagi menentang pasukan yang kerap ‘menyusahkan’ mereka.
Dalam perkembangan lain, Liverpool mengesahkan Slot tidak akan mengadakan sidang media pra-perlawanan, selaras dengan peraturan bahawa pengurus hanya diwajibkan berbuat demikian bagi aksi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-Juara, tetapi bukan untuk Piala Liga.
Kelab turut mengekalkan pendekatan sama seperti pusingan sebelumnya ketika menentang Southampton, di mana pada hari sama sebahagian pengurusan Liverpool berada di Paris menghadiri majlis Anugerah Ballon d’Or.
© New Straits Times Press (M) Bhd




