Panas takpa, koyak janganla – MB Kedah

KUALA LUMPUR – Perang media sosial antara Tunku Mahkota Johor atau TMJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Besar Kedah kembali panas semula apabila kedua-duanya saling berbalas sindiran di laman media sosial masing-masing.

Kemuncak ‘perseteruan’ mereka tercetus hari ini apabila TMJ memuatnaik di Insta Story gambar badut McDonald’s memegang  makanan berisi burger, kentang goreng serta air.

Foto Instagram TMJ.

Menerusi hantaran itu, TMJ menulis; Dari dulu baik zip saja mulut tu. Makin banyak bunyi makin terserlah kebodohan. Pegang semua benda gagal. Negeri gagal, ekonomi gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini namanya expert of gagal/failure.”

Muhammad Sanusi kemudian membalas di Facebooknya dengan menulis: “Panaihhh (panas) tak apa, koyak jangan la.”

Semuanya bermula apabila sebelum itu Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Presiden Kedah Darul Aman (KDA) FC memuatnaik hantaran di Facebooknya seperti menyindir Tunku Ismail Sultan Ibrahim awal pagi tadi.

Dalam hantaran itu, Muhammad Sanusi mempersoalkan kenapa pemilik JDT itu seolah-olah menyibuk memberi ulasan mengenai jurulatih pasukan lain.

Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, ia dipercayai ditujukan kepada TMJ susulan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu ada memberikan komen mengenai jurulatih Perak FC, Lim Teong Kim baru-baru ini.

Malah Muhammad Sanusi membuka cerita lama berhubung status seorang pemain pinjaman, dipercayai merujuk kepada Syafiq Ahmad yang dipanggil semula oleh JDT daripada KDA FC.

“Yang nampak dok kalut pasai (pasal) jurulatih pasukan lain tu pasai apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia tak boleh nak call direct macam dia dok call jurulatih team lain sebelum ni kot!

“Cerita dia nak ambik balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dengan player direct suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun… nampak dak kerek dia?

“Dia ingat dia boleh buat semua benda dan orang lain tak boleh kata apa kat dia ka? Ni tahun 2022 dah cik oiii… bukan tahun 1422,” tulis Muhammad Sanusi.

Kelmarin, dalam sesi soal jawab TMJ bersama peminat, pelantikan Teong Kim selaku ketua jurulatih baharu Perak turut mendapat tumpuan peminat JDT yang memintanya mengulas mengenai kehadiran pengendali kelahiran Melaka itu.

“Berkenaan dengan soalan pertama tadi, sama ada Perak yang betul-betul kaya atau dia (merujuk kepada Teong Kim) menerima gaji lebih kecil kerana tiada kerja,” kata TMJ.

Beberapa bulan lalu, kedua-duanya pernah bertelagah di laman sosial sehingga TMJ menghantar McDonald’s kepada Muhammad Sanusi namun Menteri Besar Kedah itu menyatakan beliau lebih suka makan cucur. – MalaysiaGazette