“Perempuan selalu dipersalahkan, lelaki gatal pula bagaimana?”- Riena Diana

“Perempuan selalu dipersalahkan, lelaki gatal pula bagaimana?”- Riena Diana

Pelakon, Riena Diana atau nama sebenarnya Nur Qamarina Diana Zulreal tidak menjangka respon yang diberikannya di sebuah portal mengenai penampilan seksi aktres Janna Nick semasa menghadiri sebuah majlis telah mencetuskan kecaman ramai.

Ujar Riena, dia tidak mempunyai niat untuk mempertahankan pemakaian ketat yang digayakan oleh Janna pada ketika itu kerana dia hanya mempersoalkan mengapa segelintir netizen suka melontarkan komen berbaur lucah.

“Saya ada meluahkan pada ruangan komen, zaman sekarang ramai lelaki yang sakit otak. Selepas itu, ramai pula netizen yang mengecam saya.
“Bukan niat saya untuk mempertahankan sesiapa, tetapi apa yang saya cuba sampaikan adalah kenapa perempuan selalu dipersalahkan? Lelaki gatal pula bagaimana?
“Saya pernah berada di situasi seperti itu apabila memakai pakaian longgar, tetapi masih ada yang komen mengenai susuk tubuh saya. Jadi, apakah itu salah wanita?” katanya.

Bukan itu sahaja, pelakon yang berusia 25 tahun itu mengakui dia melakukan kesilapan dalam memberikan komen sehingga menyebabkan ramai tidak puas hati terhadap dirinya.

Katanya, dia tidak mahu menegakkan benang yang basah dan tidak menganggap penampilan seksi Janna itu adalah perkara yang betul.

“Salah tetap salah, saya tidak cakap menyarung pakaian ketat itu betul. Saya juga tidak mahu menegakkan benang yang basah.
“Saya juga tidak bercakap, menggayakan pakaian seksi itu betul. Salah saya juga sebab gatal memberikan komen, jadi saya terima apabila diserang netizen,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Janna telah menyapa seorang peminatnya dari arah belakang sehingga menampakkan bentuk tubuhnya yang menyebabkan dia telah diserang dengan pelbagai komen berbaur lucah terutamanya dalam kalangan lelaki.

Sumber: Utusan Malaysia (Siti Athirah Dzulkifly)