Perasuah dan penerima rasuah bukan sahaja sama-sama berdosa di sisi agama, malah wajar sama-sama dibawa ke muka pengadilan di sisi undang-undang. Prinsipnya mudah, tanpa pemberi, tiada penerima, tanpa penerima, tiada transaksi rasuah berlaku.
Atas dasar itu, artikel ini berhujah kedua-dua pihak mesti dipertanggungjawabkan, khususnya apabila pemberi bertindak sebagai ‘tangan di atas’ yang menggunakan rasuah sebagai alat ugutan dan pengawalan rakan sekutu jenayahnya.
Hadis melaknat pemberi dan penerima
Dalam tradisi Islam, rasuah digolongkan sebagai dosa besar kerana merosakkan keadilan dan menyelewengkan amanah. Satu hadis masyhur menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah, menandakan kedua-duanya berkongsi beban dosa yang sama berat.
Agama menegaskan laknat ini membawa makna pengharaman keras, kerana rasuah mengubah keputusan dan hak manusia bukan atas dasar merit, tetapi atas dasar wang dan kepentingan peribadi.
Hadis ini, sekali gus menolak tanggapan hanya penerima rasuah bersalah manakala pemberi boleh bersembunyi di sebalik alasan ‘terpaksa’ atau ‘mengikut budaya kerja’.
Dalam kebanyakan situasi hari ini, pemberi bukan lagi mangsa, sebaliknya pelaku aktif yang merancang, menawarkan dan mengukuhkan budaya rasuah sebagai cara biasa menyelesaikan urusan.
Pemberi sebagai ‘tangan di atas’ dan senjata ugutan
Di lapangan politik, pentadbiran dan korporat, pemberi rasuah selalunya hadir dengan kedudukan kuasa dan sumber lebih besar berbanding penerima. Mereka tawarkan wang, kontrak, tajaan atau pelbagai bentuk manfaat sebagai umpan mempengaruhi keputusan, sama ada dalam pemberian projek, pelantikan jawatan, mahupun pengguguran tindakan undang-undang.
Lebih membimbangkan, ada pemberi merekod dan menyimpan bukti transaksi rasuah untuk dijadikan alat blackmail pada masa depan. Dengan bukti itu, mereka boleh mengugut: menyuruh penerima terus menurut atau berdepan pendedahan. Dalam keadaan ini, rasuah bukan lagi sekadar jenayah kewangan, tetapi bertukar menjadi mekanisme kawalan dan pemerasan berterusan. Jelas, pemberi bukan pihak yang patut disimpatikan, sebaliknya dalang yang menjerut orang lain dalam rangkaian jenayah berlapis.
Kerangka undang-undang: kedua-duanya adalah pesalah
Dari sudut perundangan negara, Malaysia sudah meletak pemberi dan penerima rasuah pada kedudukan sama: kedua-duanya adalah pesalah. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 memperuntukkan bahawa meminta, menerima, menawarkan atau memberi suapan, semuanya kesalahan yang boleh dihukum dengan penjara dan denda yang tinggi.
Hukuman ini menunjukkan betapa seriusnya negara memandang isu rasuah, bukan lagi sebagai ‘minyak pelincir,’ tetapi sebagai racun yang merosakkan institusi. Namun dalam persepsi awam, fokus kecaman dan pendakwaan sering tertumpu kepada penerima, lazimnya pegawai kerajaan atau mereka yang ada kuasa meluluskan. Pemberi mungkin datang dalam kalangan ahli perniagaan berprofil tinggi atau tokoh politik kadang-kadang terlepas daripada kecaman moral yang setimpal.
Mengapa kedua-dua pihak mesti didakwa?
Pertama, mendakwa kedua-dua pihak menghantar isyarat jelas bahawa tiada sesiapa boleh membeli jalan keluar dari hukuman. Jika hanya penerima yang disasarkan, pemberi akan terus melihat rasuah sebagai ‘kos operasi yang berbaloi kerana risiko mereka lebih rendah.
Kedua, pendakwaan serentak mematahkan strategi ugutan. Pemberi yang selama ini yakin boleh mengawal penerima melalui ancaman pendedahan bukti rasuah akan sedar bahawa setiap bukti yang mereka simpan juga boleh menjerat diri sendiri di mahkamah. Ini membantu memecahkan rantaian takut dan diam yang selama ini melindungi sindiket rasuah.
Ketiga, dari sudut kepercayaan rakyat, tindakan terhadap kedua-dua pihak mengembalikan keyakinan bahawa undang-undang tidak memilih bulu. Sama ada pelakunya orang biasa, ahli korporat, atau tokoh politik, semua tertakluk kepada prinsip yang sama: memberi atau menerima rasuah adalah jenayah dan dosa besar yang mesti dipertanggungjawabkan.
Tanggungjawab bersama masyarakat
Seruan supaya kedua-dua pemberi dan penerima rasuah didakwa bukan hanya isu teks undang-undang, tetapi soal nilai mahu dibentuk dalam masyarakat. Jika masyarakat bersikap longgar terhadap pemberi dengan alasan ‘dia cuma nak percepatkan urusan,’ maka budaya rasuah akan kekal subur. Sebaliknya, apabila masyarakat mula lihat tawaran rasuah sebagai tindakan kejam menjerat orang lain ke neraka dan ke penjara, tekanan moral akan meningkat terhadap kedua-dua pihak.
Akhirnya, kita seru agar agensi penguat kuasa, pembuat dasar dan rakyat biasa bersatu memandang rasuah sebagai jenayah dua hala. Perasuah dan penerima rasuah sama-sama menghancurkan masa depan negara.
Penulis pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM)
© New Straits Times Press (M) Bhd




