sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran nombor dua negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kini sudah bersedia untuk mendapatkan kembali rentak cemerlang mereka di Masters Jepun minggu depan selepas prestasi yang agak suram pada beberapa kejohanan sebelum ini.
Bagi Pang Ron, mereka kini berlatih mendapatkan kembali rentak permainan selepas hampir dua bulan berehat ekoran kecederaan dialami Su Yin sebelum ini.
Katanya, dia melihat lawan mereka dari Taiwan, Wu Hsuan Yi-Yang Chu Yun di pusingan awal nanti agak kuat dan sedang membina momentum sangat baik ketika ini.
“Mereka pun agak kuat juga sebab kalau tidak salah di Kaohsiung Masters mereka menjadi finalis.
“Kami tahu bukan mudah untuk lawan mereka, tapi kami sudah buat persiapan rapi dan harap dapat beri yang terbaik,” katanya selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Untuk rekod, gandingan ke-20 dunia itu terlepas kesemua aksi jelajah Eropah bulan lalu kerana memberi tumpuan pemulihan keretakan tulang di tapak kaki kiri dialami oleh Su Yin.
Sementara itu, Su Yin menyatakan dia kini sudah bebas daripada kecederaan dan bersedia menampilkan persembahan terbaik dan sangat bersemangat untuk beraksi selepas berehat panjang.
“Setakat ini saya sudah okay dan pulih sepenuhnya. Kecederaan itu masih ada tetapi saya lihat macam mana saya mahu atasinya. Sekarang saya tidak ada rasa takut lagi,” katanya yang akan turut menyertai Terbuka Australia (18-23 November).
© New Straits Times Press (M) Bhd




