PDRM teroka potensi AI tranformasi digital pasukan

PDRM teroka potensi AI tranformasi digital pasukan

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus meneroka potensi teknologi Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemangkin utama transformasi digital Pasukan.

Ia bagi memperkukuh keupayaan menangani ancaman jenayah serta memastikan keselamatan masyarakat dan negara sentiasa terjamin.

Inisiatif itu dizahirkan melalui penganjuran Seminar AI Pengurusan Tertinggi PDRM yang berlangsung di Dewan Ketua Polis Negara (KPN), Maktab PDRM Kuala Lumpur, dengan penyertaan seramai 52 pegawai kanan pengurusan tertinggi di peringkat Bukit Aman, kontinjen, bridged dan formasi.

Seminar berkenaan turut mendapat kerjasama strategik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui penglibatan tenaga pakar dalam bidang AI, sekali gus memperkukuh sinergi antara institusi akademik dan pasukan keselamatan dalam memperluas pengetahuan serta kemahiran digital dalam kalangan kepimpinan Pasukan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, penganjuran seminar itu bukan sekadar wadah perkongsian ilmu, malahinisiatif strategik untuk memperkukuh hala tuju PDRM dalam mendepani Revolusi Industri 4.0 dan kemunculan teknologi Generatif AI.

“Sejajar dengan aspirasi Fokus Utama KPN ke arah kepolisan yang dipacu oleh teknologi dan AI, seminar ini turut mendukung aspirasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menekankan konsep ‘AI for KDN, KDN for AI’.

“PDRM kini berada dalam fasa penting di mana kecekapan dan ketepatan keputusan amat bergantung kepada data, automasi dan AI,” katanya ketika berucap pada seminar terbabit hari ini.

Mohd Khalid berkata, dalam konteks PDRM, AI bukan sekadar alat teknologi semata-mata, tetapi satu keberdayaan strategik yang meliputi analisis data jenayah, ramalan pola jenayah, pengurusan sumber manusia serta latihan pintar berasaskan e-pembelajaran.

“Teknologi ini dapat mempercepatkan respons terhadap jenayah dan meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat secara berterusan.

“Penglibatan tenaga pakar UTM membuktikan sinergi erat antara dunia akademik dan pasukan keselamatan dalam memperluas pengetahuan serta membentuk pemikiran digital yang progresif dalam kepimpinan PDRM,” katanya.

Seminar sehari itu menampilkan tiga sesi utama, iaitu “AI for Public Goods: Opportunities and Boundaries” daripada Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan UTM, Profesor Ts Dr Mohd Naz’ri Mahrin, seterusnya perkongsian ilmu oleh Penyelaras Akademik Kejuruteraan Elektrik UTM, Profesor Dr Hazlina Selamat iaitu”Responsible AI Governance and Ethics” dan “AI Risk Management (Hands-on)” yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) UTM, Profesor Madya Dr Roslina Ibrahim.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M Kumar S Muthuvelu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Datuk Hamzah Ahmad, Timbalan Pengarah Pengurusan (Dasar Sumber Manusia) Bukit Aman merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Deputi Komisioner Polis (DCP) Mohd Asri Md Akhir, barisan pegawai kanan dan tenaga pensyarah serta ahli akademik UTM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top