Pantai Cahaya Bulan (PCB) Kecantikan Kelantan

Kota Bharu: Bagi anda yang pernah datang ke negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan, sudah tentunya nama Pantai Cahaya Bulan sudah tidak asing lagi bagi mereka. Namun, bagi mereka yang baru pertama kali mendengar nama tempat ini pasti akan tertanya-tanya di mana spesifik tempat ini, apa yang menarik di tempat ini, dan asal usul nama tempat ini.
Pantai Cahaya Bulan ataupun nama asalnya sebelum menerima penjenamaan semula ialah Pantai Cinta Berahi, adalah salah sebuah pantai yang terkenal di negeri Kelantan. Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa nama asal pantai ini ialah Pantai Cinta Berahi kan? Menurut sumber yang dipercayai, kawasan pantai ini dahulunya dijadikan tempat pendaratan tentera Jepun yang datang menyerang tentera British pada tanggal 8 Disember 1941. Siapa yang pernah menonton cerita Sarjan Hassan, lakonan hebat allahyarham Tan Sri P.Ramlee mesti akan ingat dialog ini “ Tentera Jepun telah mendarat di Kota Bharu.” Jadi, Pantai Cahaya Bulan inilah tempat pendaratannya. Ketika Perang Dunia ke-2, ada seorang askar British telah menamakannya sebagai Pantai Cinta Berahi setelah menderita kerana cintanya pada seorang gadis tak berbalas. Begitulah kisahnya bagaimana Pantai Cahaya Bulan mendapat nama asalnya.

Pantai Cahaya Bulan terletak kira-kira 10 kilometer dari bandar Kota Bharu. Persisiran pantai ini adalah sejauh 1.2 kilometer. Pantai ini menjadi tempat kunjungan dan perkelahan popular dalam kalangan keluarga-keluarga tempatan pada hujung minggu kerana kawasannya panjang dan lebar, persisiran pasir pantai yang cantik, dan air yang jernih. Selain itu, pantai ini juga lengkap dengan kemudahan untuk para pengunjung , contohnya ialah terdapat pilihan hotel, chalet, kawasan perkhemahan, kedai makan dan gerai, tandas awam.

Pantai Cahaya Bulan terletak di semenanjung Malaysia, dan mengalami angin monsun timur laut pada bulan-bulan tertentu. Oleh itu, para pengunjung yang ingin melawat dan ingin melancong ke tempat ini seharusnya merancang percutian dari awal agar percutian berjalan dengan lancar. Waktu yang terbaik serta paling ramai menerima pengunjung ialah pada bulan April hingga September kerana pada waktu ini cuaca agak baik dan tidak hujan. Pantai ini bukanlah seperti pantai-pantai di negeri lain seperti Pantai Cherating ataupun Pantai Port Dickson yang mana para pengunjung boleh mandi-manda, bermain jetski, banana bot, dan sewaktu dengannya. Ini kerana paras air laut di Pantai Cahaya Bulan agak tinggi dan ditambah pula dengan ombak yang kuat terutama pada musim tengkujuh antara bulan Oktober hingga Desember pada setiap tahun dan tidak digalakkan untuk aktiviti mandi- manda di pantai. Namun begitu, para pengunjung boleh berjalan di sepanjang pesisir pantai yang agak panjang sambil ditemani bayu laut yang sejuk dan mendamaikan. Bagi golongan kanak-kanak pula, mereka boleh bermain layang-layang yang di jual di tepi-tepi jalan sepanjang pesisir Pantai Cahaya Bulan.
Selain itu, di sepanjang pantai ini juga, terdapat banyak deretan kedai makan dan ianya lebih kepada hidangan santai-santai sambil lepak di tepi pantai seperti makanan bergoreng, keropok, bebola, seafood celup tepung, masakan panas, dan juga beraneka citarasa

minuman sejuk dan panas dengan harga yang berpatutan. Tinggal pilih menu dan membuat pesanan sahaja.
Dengan angin yang kuat, pemandangan laut yang lapang dan tenang, bunyi ombak yang deras, makanan yang sedap dan berpatutan, dan suasana kampung di sepanjang jalan menuju ke Pantai Cahaya Bulan serta kemudahan untuk mendapatkan tempat penginapan chalet dan resort di sekitar Pantai Cahaya Bulan baik di Bandar Kota Bharu, ataupun di kawasan sekitar Pantai Cahaya Bulan itu sendiri sudah cukup untuk menggambarkan mengapa Pantai Cahaya Bulan adalah salah satu tempat wajib para pengunjung harus menjadikannya salah satu destinasi pilihan jika berkunjung ke Kelantan.

Oleh: Ainnur
Malay News