MARANG – Pas meletakkan sasaran untuk menjadi blok pembangkang serta penasihat kepada kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan bahawa keputusan meletakkan calon di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dibuat berdasarkan penilaian teliti di kawasan yang mempunyai keyakinan tinggi untuk menang, termasuk di DUN Maharani.
”Kita bertanding 11 (kerusi), 11 lah (semua disasarkan menang). Kita pilih kerusi yang ada keyakinan untuk menang. InsyaALLAH, mudah-mudahan,”katanya ketika ditemui selepas kuliah duha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.
Beliau turut menegaskan pentingnya mandat pentadbiran Johor kekal di bawah kepimpinan Melayu-Islam bagi mengelakkan penguasaan ideologi yang bertentangan.
”Apa yang penting, kita mahu negeri Johor diperintah oleh orang Melayu-Islam. Tak mahu dikuasai oleh puak-puak liberal, puak-puak bukan Islam. Biar orang Islam yang perintah Johor,” katanya lagi.
Setakat malam Khamis, PN mengumumkan akan meletakkan calon di 33 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung pada 11 Julai depan.
Pas bertanding di 11 kerusi manakala Bersatu di 16 kerusi serta MIPP di lima kerusi dari 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). Pejuang yang tampil di bawah payung PN pula akan bertanding hanya di satu kerusi.
Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah kerusi ditandingi Pas pada PRN Johor ke-16 dikurangkan kepada 11 berbanding 15 kerusi pada PRN sebelumnya.
Katanya, pengurangan jumlah kerusi yang ditandingi Pas bukanlah satu isu kerana keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan semasa dan strategi terbaik bagi menghadapi pilihan raya.



