ARAU: Cabaran agihan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) antara Pas dan UMNO boleh diselesaikan jika dua parti berkenaan saling berkorban serta ikhlas dalam penyatuan demi orang Melayu dan Islam.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ruang penyatuan antara Pas dan UMNO sudah terbentang luas dengan kedua-dua parti hanya perlu menyuburkan sahaja kerjasama itu.
Katanya, Pas selama ini mempunyai pengalaman cukup luas dalam soal pengagihan kerusi melalui kerjasama dengan parti-parti politik dalam gabungan sebelum-sebelum ini.
“Saya melihat soal pengagihan kerusi itu tidak akan menjadi masalah dengan apa yang penting kedua-kedua parti ikhlas dalam kerjasama tersebut selain bersedia berkorban.
“Pas juga dalam kerjasama sebelum-sebelum ini telah banyak berkorban dan kesannya kini, kita semakin dekat untuk memimpin,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Muktamar Tahunan Pas Ke-72 di Kelantan pada Sabtu lalu menjadikan penyatuan ummah antara agenda utama mendepani PRU16 serta memberi isyarat jelas parti itu mahu memperkukuhkan kerjasama politik berteraskan Melayu Islam.
Majlis Ulama UMNO juga mahu kerjasama antara parti itu dengan Pas dimeterai secara rasmi dan lebih kukuh dalam mendepani pilihan raya.
Namun, ujian sebenar sejauh mana kerjasama itu dapat direalisasikan apabila tiba masa soal agihan kerusi dalam PRU16 kelak dan ia bakal menjadi cabaran cukup besar kepada Pas dan UMNO yang sudah pastinya sebagai sebagai parti teras orang Melayu Islam terbesar, masing-masing mempunyai ego tersendiri.
Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor antaranya telah menegaskan, Pas akan mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya akan datang.
“Kita tentukan kerusi mana yang patut, yang dimenangi oleh Pas. Jangan lepaskan kerusi kepada siapa-siapa pun. Kerusi hak kita boleh menang bagi kepada orang, hak kalah kita ambil. Itu ikhlas dan bodoh namanya,” kata Menteri Besar Kedah itu semasa menggulungkan ucapan dasar Presiden Pas dalam muktamar Sabtu lalu.
Sementara itu, Hashim berkata, melihat kepada situasi semasa, beliau optimis penyatuan antara Pas dan UMNO dapat direalisasikan.
Katanya, Pas dan UMNO perlu bekerjasama dengan berpaksikan kepada kepentingan Islam.
“Saya juga yakin, rakyat sudah lama menanti untuk melihat kerjasama dua parti politik terbesar Melayu Islam itu. Suasana politik semasa, memerlukan Pas dan UMNO bersama,” katanya.
Katanya, cabaran pembahagian kerusi berkenaan dijangka berlaku di negeri-negeri SG4 dan jika ia dapat diselesaikan tidak mustahil penyatuan Pas dan UMNO akan berjaya.
Dalam pada itu, mengulas isu Pas di Perlis, beliau menasihatkan agar ia segera diselesaikan dengan Pas pusat perlu melihat situasi sebenar sehingga tercetusnya permasalahan tersebut.
“Nak selesai atau jernihkan isu di Perlis, Pas pusat kena melihat punca sebenar kejatuhan kerajaan Pas di Perlis itu. Beliau sudah lama membangkitkan perkara ini dan diharap mendapat perhatian pusat,” katanya. – UTUSAN
