harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Gerak Khas (PGK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memanfaatkan perkembangan teknologi bagi meningkatkan keupayaan taktikal dan kuasa tempur selaras dengan ancaman semasa.
Pasukan Khas, VAT 69 Komando (Komando 69) dalam satu hantaran di Facebook berkata, perkara itu ditekankan oleh Timbalan Pengarah (Gerakan/Operasi) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Muhammad Abdul Halim.
“Dalam sesi amanat bersama warga 69 Komando semalam, Muhammad menekankan kepentingan memperkukuh kemahiran, meningkatkan prestasi kerja serta melaksanakan latihan secara konsisten bagi memastikan tahap keupayaan pasukan sentiasa berada pada aras tertinggi.
”Beliau turut menyeru warga pasukan agar memanfaatkan perkembangan teknologi terkini bagi meningkatkan mobiliti, keupayaan taktikal dan kuasa tempur, selaras dengan perubahan landskap keselamatan,” katanya.
Sebelum itu, Muhammad mengadakan lawatan kerja rasmi ke Ibu Pejabat 69 Komando, Kem Sultan Nazrin Shah di Perak, diiringi oleh Komander 69 Komando, Senior Asisten Komisioner Hamzah Hashim.
Lawatan kerja ini bertujuan meninjau dengan lebih dekat tahap kesiapsiagaan, keupayaan operasi, pelaksanaan latihan, sokongan logistik dan pengoperasian 69 Komando dalam mendukung fungsi serta tanggungjawab Jabatan KDNKA.
Katanya, lawatan ini juga bertujuan memperkukuh hala tuju pasukan agar sentiasa bersedia menghadapi pelbagai bentuk ancaman dan cabaran keselamatan semasa.
”Warga 69 Komando diseru untuk menekankan aspek semangat kekitaan (esprit de corps), disiplin, integriti dan profesionalisme.
”Seluruh warga 69 Komando diminta mengutamakan kepentingan pasukan, saling bekerjasama, mengekalkan motivasi serta menjauhi sebarang bentuk salah laku yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti pasukan,” katanya.
Dalam lawatan itu, Muhammad sempat meluangkan masa meninjau beberapa fasiliti keupayaan dan latihan 69 Komando antaranya kompleks latihan para, perubatan taktikal, seksyen rigger, seksyen selam tempur, kompleks tempur jarak dekat dan menara selam tempur taktikal.
Lawatan diteruskan dengan pertandingan tembak tempur bersama pegawai kanan 69 Komando yang menyaksikan kumpulan Muhammad muncul sebagai juara.
“Penglibatan aktif beliau dalam aktiviti berkenaan mencerminkan kepimpinan melalui teladan, di samping memperlihatkan pengalaman dan kefahaman mendalam terhadap keperluan operasi serta pembangunan keupayaan pasukan khas PDRM.
”Kepimpinan berwibawa bukan sekadar memimpin dari hadapan, malah hadir bersama pasukan, memahami cabaran, berkongsi pengalaman dan membina keyakinan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

