Pasangan kekasih dalangi sindiket edar dadah tumpas

Pasangan kekasih dalangi sindiket edar dadah tumpas

mhafis@mediaprima.com.my

Kajang: Kegiatan tiga individu termasuk pasangan kekasih mengedar dadah terbongkar selepas ditahan dalam serbuan berasingan di daerah ini dan Petaling Jaya, pada 21 Ogos lalu.

Dalam dua serbuan itu, pelbagai dadah dianggarkan bernilai RM757,760 dirampas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di daerah ini pada jam 5 petang.

Katanya, polis menahan pasangan kekasih iaitu wanita berusia 34 tahun bersama lelaki berusia 32 tahun yang bekerja sendiri.

“Pemeriksaan di rumah menemukan empat bungkusan dadah jenis ganja dengan anggaran berat 364 gram bernilai kira-kira RM700.

“Serbuan itu membawa kepada satu lagi penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun pada jam 9 malam hari sama yang menaiki Perodua Myvi serta menemukan tiga bungkusan ganja dengan berat keseluruhan 235 gram bernilai RM500,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil soal siasat terhadap suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Petaling Jaya yang dipercayai dijadikan lokasi simpanan bekalan dadah.

Beliau berkata, tindakan lanjut bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Petaling Jaya menemukan rampasan besar iaitu 22.2 kilogram ganja, 3.35 kilogram pil ekstasi, 267 gram serbuk methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan 34 gram ketamin.

“Siasatan mendapati pasangan kekasih dipercayai berperanan sebagai tokan manakala suspek ketiga adalah pengedar bagi bekalan dadah.

“Saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif tetrahydrocannabinol (THC), semakan rekod mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

“Semua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau menegaskan pihaknya komited membanteras aktiviti pengedaran dadah dan orang ramai diseru menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top