Pasar berusia lebih 50 tahun diutamakan untuk bina semula, naik taraf – Nga

Pasar berusia lebih 50 tahun diutamakan untuk bina semula, naik taraf – Nga

MANJUNG – Kerajaan akan memberi keutamaan kepada pasar awam yang berusia melebihi 50 tahun bagi projek membina semula atau kerja menaik taraf, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Katanya, ia kerana bangunan pasar yang melebihi tempoh berkenaan sudah usang dan perlu diberi perhatian bagi memastikan keselesaan peniaga dan orang awam.

“Sepertimana kita tahu banyak juga pasar awam seperti di Taiping sedang dalam pembinaan.

“Saya sudah sarankan supaya siapkan pasar warisan negara itu menjelang ulang tahun ke-150 Bandar Warisan Taiping pada tahun depan,” katanya pada sidang media selepas melawat Pasar Awam Ayer Tawar di sini hari ini.

Nga berkata, KPKT memperuntukkan RM5.48 juta untuk 24 projek pembangunan infrastruktur serta kerja-kerja menaik taraf di daerah Manjung.

Beliau berkata, peruntukan itu antaranya bagi membina semula pasar tersebut dengan permulaan peruntukan bagi fasa satu berjumlah RM1 juta.

“Pasar Awam Ayer Tawar ini yang telah berusia 50 tahun perlu dibina semula kerana telah uzur. Anggaran kos keseluruhan pembinaan semula pasar awam ini adalah RM3.5 juta,” katanya dan menambah kerja-kerja selanjutnya akan diadakan secara berfasa.

Nga berkata, pembinaan semula pasar itu disertakan dengan Indeks Bangunan Hijau (GBI) serta mempunyai tenaga solar, selain selesa dan mesra pelanggan.

Katanya, pasar itu boleh menjadi mercu tanda baharu untuk kawasan berkenaan sekali gus membantu mengharumkan nama Manjung sebagai Bandar Pelancongan dan Maritim.

Selain itu, Nga berkata, RM500,000 diperuntukkan untuk menaik taraf Pasar Awam Beruas serta jumlah yang sama bagi membina kiosk penjaja di Jalan Gapis, Seri Manjung, manakala RM100,000 diperuntukkan untuk menaik taraf sistem pencahayaan di sekitar bandar Seri Manjung dan Lumut.

Katanya, sebanyak RM2.9 juta pula diperuntukkan bagi 15 projek pembangunan infrastruktur dan pengindahan Kampung Baru Cina di sekitar daerah Manjung.

Beliau berkata, KPKT menerusi Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) akan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi merealisasikan perancangan pembangunan demi meningkatkan mutu perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat.

Terdahulu, Nga melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Ayer Tawar dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Ayer Tawar.

Beliau turut berkunjung ke Kampung Baru Ayer Tawar yang juga dikenali sebagai Taman Disneyland, bagi meninjau kemudahan asas dan keperluan berkaitan kemudahan awam kawasan tersebut. – Bernama