Pasar raya jual minuman keras diarah tutup

Pasar raya jual minuman keras diarah tutup

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur: Sebuah pasar raya di Bangsar diarah menutup operasi jualan minuman keras selepas didapati menyalahgunakan surat kebenaran operasi dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata polis menjalankan pemeriksaan ke atas pasar raya itu petang semalam, susulan aduan seorang lelaki berhubung perkara berkenaan.

“Lelaki itu mendakwa sebuah premis perniagaan didapati menjual minuman keras, sedangkan surat daripada MITI yang diluluskan itu untuk peruncitan makanan dan minuman seperti tular di media sosial.

“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu hanya menjual minuman keras semata-mata yang dianggap bukan barangan keperluan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pasar raya boleh dibuka sepanjang pelaksanaan sekatan pergerakan penuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Selasa lalu, namun terhad kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas saja.

Susulan itu, Anuar berkata, polis mengarahkan premis terbabit ditutup dan pengurusan premis akur dengan arahan berkenaan.

“Semua peniaga diingatkan tidak menyalahgunakan surat kelulusan MITI dengan sewenang-wenangnya.

“Jika ada maklumat berkaitan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), orang ramai diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top