Pasukan MLBB wanita negara gagal ke final WEC 2025

Pasukan MLBB wanita negara gagal ke final WEC 2025

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hasrat untuk melihat skuad Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) wanita negara ke Grand Final IESF Kejuaraan E-sukan Dunia (WEC) 2025 tidak tercapai selepas perjalanan mereka terhenti di separuh akhir lower bracket, apabila tewas 0-2 kepada Kemboja, semalam.

Meskipun menunjukkan persembahan menyakinkan sebelum itu, termasuk menyingkirkan Argentina 2-1 di suku akhir dan dilihat mampu meneruskan aksi cemerlang ke peringkat lebih jauh, perkara itu tidak berlaku.

Jurulatih pasukan MLBB wanita negara, Muhammad Faris Badrul Zaman berkata, pemain sudah memberikan persembahan baik dalam perlawanan ini namun sedikit hilang fokus membolehkan pasukan Kemboja mengambil kesempatan untuk menang.

“Bagi saya, ini lebih kepada mentaliti. Jurang mindset pemain kita masih jauh berbanding negara lain. Dari segi ‘in-game’ sebenarnya tak ada masalah besar, cuma mentaliti itu yang jadi pemisah,” katanya.

Beliau turut yakin pasukan negara mampu memperbaiki kekurangan itu dan tampil lebih cemerlang dalam Sukan Sea Thailand untuk mendapatkan pingat bagi kontijen negara.

“Bagi saya ada harapan (pingat) tahun ini dan kita perlukan sokongan semua pihak. Untuk sekarang, kalau ikut perancangan, kita boleh berada di separuh akhir dan bergantung kepada mentaliti pemain serta pihak pengurusan juga nanti,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung IESF, Boban Totovski menyanjung Malaysia sebagai salah satu tuan rumah terbaik pernah menganjurkan kejohanan bertaraf dunia.

Katanya, Malaysia berjaya mengendalikan kejohanan ini dengan sangat baik tanpa sebarang isu berbangkit, membuktikan kemampuan tuan rumah menjaga semua pasukan yang bertanding.

“Kita amat berpuas hati dengan kelancaran kejohanan ini. Malaysia membuktikan mereka mampu menguruskan acara bertaraf dunia dengan penuh profesionalisme. Pasukan-pasukan yang bertanding juga memuji tahap penganjuran yang sangat baik,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top