anbia@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tidak perlu simpati dan selayaknya penjenayah atau pemburu haram ini dikenakan hukuman paling berat.
Itu saranan Presiden Persatuan Haiwan Malaysia merangkap Pengerusi Persatuan Penguatkuasaan Undang-Undang, Penyiasatan dan Keselamatan Malaysia, Arie Dwi Andika terhadap kumpulan pemburu haram yang menjadikan Harimau Malaya sebagai sasaran kegiatan.
Terbaharu, tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, Selasa lalu kerana menyimpan bangkai seekor harimau belang betina tanpa permit khas pada 16 September lalu.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu ke atas Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tomiran, 47, dan Mohamad Nazrol Tomiran, 28, selepas mereka mengaku bersalah.
Mereka didakwa menyimpan bangkai haiwan itu di bahagian bonet belakang kereta Perodua Alza di Stesen Minyak, Felda Tenggaroh, Mersing.
Arie berkata, pihaknya menyambut baik keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman denda berat dan penjara tujuh tahun terhadap tiga penjenayah hidupan liar itu.
Menurutnya, hukuman itu wajar dan munasabah kepada individu yang sepatutnya melindungi khazanah negara daripada berdepan kepupusan.
“Ia juga adalah pengajaran terbaik bagi golongan yang masih berdegil melakukan kerja pemburuan haram haiwan liar terutama spesis terancam seperti Harimau Malaya ini,” katanya.
Sedia dana khas siasat jangka panjang
Pihak berkuasa sewajarnya diberikan dana khas bagi melakukan siasatan jangka panjang dan mendalam termasuk melaksanakan operasi penyamaran serta serbuan terancang bagi menumpaskan aktiviti pemburu haram.
Pengurus Komunikasi TRAFFIC Southeast Asia, Elizabeth John, berkata, sokongan lebih padu oleh kerajaan negeri amat diperlukan, bukan sahaja daripada segi peruntukan, tetapi juga dalam keputusan pembangunan yang mesra hidupan liar dan pemuliharaan hutan.
Beliau mengulas insiden pembunuhan seekor harimau belang betina oleh sekumpulan tiga lelaki tempatan di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor, 19 September lalu.
Semua mereka bagaimanapun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, Selasa lalu.
“Setahu kami, ini adalah antara hukuman paling berat pernah dikenakan bagi kesalahan membabitkan seekor harimau.
“Lebih penting, hukuman ini mencerminkan nilai dan pentingnya pemuliharaan spesies harimau belang yang kini berbaki kurang 150 ekor di negara ini,” katanya.
Menurutnya, hukuman berat ini juga adalah pengiktirafan terhadap tindakan serius menangani ancaman pemburuan dan perdagangan haram terhadap harimau dan hidupan liar lain.
“Kami mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa atas kejayaan tangkapan dan sabitan hukuman ini. Namun kami menggesa supaya siasatan diteruskan bagi membongkar jaringan jenayah (hidupan liar) yang beroperasi di kawasan harimau itu diburu. Menghukum mereka yang memburu harimau belang adalah penting, tetapi lebih utama memastikan pemburu sedar risiko ditangkap sangat tinggi,” katanya.
Menurutnya, pihak berkuasa perlu memahami cara pemburu tempatan dan asing beroperasi di negara ini.
“Bagaimana kegiatan mereka dibiayai serta ke mana akhirnya harimau hasil buruan itu dihantar. Ini akan membantu meningkatkan kejayaan penguatkuasaan dan menggandakan risiko untuk pemburu dan pedagang haram,” katanya.
Menurutnya, masyarakat yang tinggal berhampiran kawasan hutan boleh memainkan peranan besar dengan melaporkan aktiviti menjerat, pemburuan dan perdagangan haram.
© New Straits Times Press (M) Bhd




