KUALA LUMPUR – Agenda ‘Malaysia Biru’ UMNO diketengahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, antara perkara penting digariskan menerusi ucapan Presiden adalah lapan usaha bagi mewujudkan satu kerangka baharu pembangunan negara.
Menurutnya, agenda berkenaan penting bagi memastikan Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan stabil, selain mampu menghadapi cabaran semasa yang semakin kompleks.
“Ya, sudah pasti. Ia akan diterjemahkan dalam manifesto Barisan Nasional.Yang Amat Berhormat Presiden meletakkan lapan ikhtiar atau usaha untuk kita mewujudkan apa yang disebut sebagai Malaysia Biru.
“Maknanya, apa yang hendak kita bawa untuk negara kita bagi menghadapi cabaran-cabaran yang ada pada hari ini. Cabaran itu adalah sangat penting untuk memastikan supaya negara kita sentiasa aman, sentiasa stabil, sekali gus bersungguh-sungguh untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran ada pada hari ini termasuk geopolitik,” katanya
Zambry berkata sedemikian ketika ditemui pemberita di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Sabtu.
Pada Jumaat, UMNO menggariskan lapan ikhtiar utama menerusi Agenda Malaysia Biru sebagai tawaran baharu sekiranya parti itu bersama Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Putrajaya.
Ahmad Zahid berkata, lapan ikhtiar itu merangkumi Malaysia sebagai Negara Pencipta, Negara Berkemahiran, Negara Pemilik, Negara Sejahtera, Negara Berdaya Tahan, Negara Peduli, Negara Beramanah dan Negara Berdaulat.
Justeru, Zambry berpandangan berkata, Malaysia memerlukan perancangan yang teliti bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan aman dan makmur, selain tidak terheret dalam perkembangan geopolitik yang boleh menjejaskan kestabilan negara.
Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO tidak mahu terjerumus dalam pertikaian politik semata-mata sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada usaha merangka penyelesaian terhadap cabaran yang bakal dihadapi negara.
Menurutnya, pengalaman UMNO dan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara sejak dahulu sehingga 2018 perlu dimanfaatkan dalam memikirkan hala tuju negara.
“Dari segi pengalaman-pengalaman itu penting ketika mana kita membicarakan soal politik, dalam masa yang sama kita juga fikirkan tentang soal negara. Jangan lupa itu,” katanya.