Geneva: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menggesa siasatan dijalankan terhadap dakwaan penggunaan kekerasan tidak seimbang selepas enam orang terbunuh dalam tunjuk perasaan di seluruh Indonesia yang dicetuskan oleh kemarahan terhadap elaun mewah ahli parlimen.
“Kami mengikuti dengan teliti siri keganasan di Indonesia dalam konteks protes seluruh negara berhubung elaun parlimen, langkah penjimatan dan dakwaan penggunaan kekerasan yang tidak perlu atau tidak seimbang oleh pasukan keselamatan,” kata jurucakap pejabat hak asasi manusia PBB, Ravina Shamdasani.
“Kami menekankan kepentingan dialog untuk menangani kebimbangan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.
Pejabat hak asasi manusia PBB menyeru siasatan segera, menyeluruh dan telus terhadap “semua dakwaan pelanggaran undang-undang hak asasi manusia antarabangsa termasuk yang berkaitan dengan penggunaan kekerasan,” katanya.
Jurucakap itu berkata, semua pasukan keselamatan termasuk tentera apabila dikerahkan dalam kapasiti penguatkuasaan undang-undang, mesti mematuhi prinsip asas mengenai penggunaan kekerasan dan senjata api oleh polis.
“Pihak berkuasa mesti menegakkan hak untuk berhimpun secara aman dan kebebasan bersuara sambil menjaga ketenteraman, selaras dengan norma dan standard antarabangsa, berhubung kawalan perhimpunan awam,” kata Shamdasani.
Beliau juga menekankan kepentingan media dibenarkan untuk melaporkan peristiwa secara bebas dan tanpa campur tangan.
Demonstrasi pada mulanya berlangsung secara aman tetapi bertukar menjadi ganas terhadap unit polis separa tentera elit negara itu selepas satu rakaman video menunjukkan salah sebuah pasukannya melanggar seorang pekerja e-hailing pada lewat Khamis.
Sejak itu, tunjuk perasaan merebak dari Jakarta ke bandar-bandar utama lain dalam pergolakan terburuk sejak Presiden Prabowo Subianto mengambil alih kuasa kurang setahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




