PBB, OIC perlu ambil tindakan segera henti keganasan Israel

PBB, OIC perlu ambil tindakan segera henti keganasan Israel
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pihaknya amat prihatin dan sedih dengan keadaan rakyat Palestin yang sedang berada dalam kecemasan perang yang berlaku sejak 7 Oktober lalu.“Kami mengecam tindakan Israel yang melancarkan serangan udara ke atas Gaza dan membunuh serta mencederakan ratusan orang awam, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga tua.

“Operasi Taufan Al-Aqsa yang dilancarkan oleh pejuang Hamas dan kumpulan-kumpulan Islam lain sebagai tindak balas terhadap pencerobohan dan penghinaan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa, tempat suci umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut laporan terkini, jumlah kematian di pihak Palestin telah melebihi 600 orang, manakala lebih daripada 1,700 orang mengalami kecederaan akibat serangan Israel.

Di pihak Israel pula, angka kematian dilaporkan lebih daripada 700 orang, manakala lebih daripada 2,000 orang cedera akibat roket-roket yang dilepaskan oleh pejuang Palestin.

Konflik ini juga telah menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan warga asing yang berada di Israel dan Gaza.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, Aid4Palestine menggesa masyarakat antarabangsa terutamanya negara-negara Islam untuk bersatu padu dan memberi sokongan moral, politik dan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang sedang berjuang untuk mempertahankan tanah air dan agama mereka.

“Kami juga menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengambil tindakan segera bagi menghentikan keganasan Israel dan menegakkan keadilan bagi rakyat Palestin.

“Kami juga menyeru agar Israel menghormati hak asasi manusia dan hukum antarabangsa, serta mengakhiri pendudukan dan penindasan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Beliau berkata, Aid4Palestine juga akan mengadakan kempen derma bagi membantu rakyat Palestin yang memerlukan bantuan perubatan, makanan, air dan perlindungan.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu katanya, turut mengajak semua pihak yang prihatin untuk menyumbang seikhlas hati bagi meringankan beban rakyat Palestin yang sedang menghadapi krisis kemanusiaan.

Sehubungan itu, Aid4Palestine 2.0 telah dilancarkan secara besar-besaran seluruh negara.

“Sebagai permulaan, majlis perlancaran Aid4Palestine 2.0 diadakan di Masjid Rusila, Marang kelmarin.

“Majlis diadakan sebaik sahaja selesai kuliah khas Dhuha dari Masjid Rusila yang disampaikan oleh Tuan Guru Dato Seri Hj Abdul Hadi Awang,” katanya.

Beliau menambah, Aid4Palestine berdoa agar Allah SWT melindungi rakyat Palestin dan memberi mereka kemenangan atas musuh-musuh mereka.

“Kami juga berdoa agar Allah SWT memberi kesabaran dan ketabahan kepada keluarga-keluarga yang kehilangan ahli-ahli mereka akibat perang ini.

“Kami juga berdoa agar Allah SWT menyembuhkan mereka yang cedera dan memberi mereka kesihatan yang baik,” katanya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top