PDRM berusaha ekstradisi 3 suspek utama Thailand tembak anggota PGA

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang terlibat dalam usaha mengekstradisi tiga suspek utama warga Thailand yang terlibat dalam serangan ke atas dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand.

Malah Menteri Dalam Negeri sudah memberi persetujuan menerusi dokumen untuk membawa tiga suspek negara jiran itu untuk didakwa di mahkamah negara ini.

Insiden itu berlaku berhampiran Tembok Sempadan (TS9), Padang Besar Perlis pada November 2020, menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador hari ini.

Kata beliau, ekstradisi itu diusahakan pihak Bukit Aman untuk membolehkan ketiga-tiga suspek utama dalam serangan itu dibawa ke negara ini dan didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

“Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) telah pun menandatangani permohonan ekstradisi itu ke atas tiga suspek warga Thailand baru-baru ini.

“Ia selaras dengan hubungan Malaysia dan Thailand melalui triti yang telah dimeterai di Bangkok pada 4 Mac 1911 iaitu Treaty Between the United Kingdom and Siam Respecting the Extradition of Fugitive Criminalas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Abdul Hamid, selepas penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 27 Oktober 1959, triti berkenaan dipersetujui untuk diteruskan sebagai instrumen ekstradisi antara Malaysia dan Thailand.

“PDRM amat komited untuk memastikan segala usaha diambil agar kesemua suspek dalam kes berkenaan dapai dibawa ke Malaysia supaya proses undang-undang ke atas mereka dapat dilaksanakan mengikut negara kita,” tegasnya.-MalaysiaGazette