PDRM, polis Australia serbu stor dadah di Ampang Jaya

PDRM, polis Australia serbu stor dadah di Ampang Jaya

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Australia Federal Polis (AFP), kelmarin menyerbu sebuah kediaman di Ampang Jaya dan menemukan pelbagai jenis dadah bernilai RM883,093.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, hasil serbuan itu, polis menemukan sejumlah methamphetamine 25.65 kg (kilogram), heroin 717 gram (g) dan botol cecair kimia 9,000 mililiter (ml).

“Modus operandi sindiket ini adalah menyewa rumah kedai yang kemudiannya dijadikan stor menyimpan dadah.

“Premis ini sebenarnya adalah tempat untuk menyimpan dadah sebelum ini dipasarkan ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kegiatan itu dipercayai baru sahaja aktif bermula tahun ini.

Katanya, JSJN juga akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas.

“Suspek didapati positif dadah methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati suspk tiada rekod lampau.

“Dia direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 20 Ogos ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah untuk menyalurkannya di talian hotline JSJN di talian 012-2087222.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top