Peguam inkues Zara Qairina terima ugutan, buli dalam talian – SLS

Peguam inkues Zara Qairina terima ugutan, buli dalam talian – SLS

Kota Kinabalu: Sebarang bentuk penderaan atau gangguan terhadap peguam adalah tidak boleh diterima dan satu penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang, menurut Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS).

Presiden SLS, Datuk Mohd Nazim Maduarin berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa peguam yang terbabit dalam inkues Zara Qairina Mahathir telah dan masih menjadi sasaran buli dalam talian, ugutan serta intimidasi.

“SLS memantau perkembangan ini sejak awal, dan kini adalah perlu untuk kami menyatakan pendirian dengan jelas. SLS memandang serius perkara sedemikian.

“Harus difahami dengan jelas bahawa semua peguam, sama ada mewakili pihak tertentu, memegang peranan sebagai peguam pemerhati, atau hadir dalam sebarang kapasiti profesional lain, hanyalah menjalankan tugas mereka sebagai pegawai mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Mohd Nazim berkata, setiap individu berhak mendapat perwakilan dan peguam menyediakan perkhidmatan ini sebaik mungkin dalam kerangka undang-undang.

“Menyasarkan atau mengugut mereka kerana melaksanakan tugas ini adalah sama seperti menjejaskan sistem keadilan itu sendiri.

“SLS berdiri teguh di belakang ahlinya. Kami menyokong mereka bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan,” katanya.

Selain peguam, saksi pertama inkues itu, pakar patologi forensik, Dr Jessie Hiu, turut membuat laporan polis selepas dimaklumkan mengenai ugutan terhadapnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top