ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Isu status tanah kebun sawit dan tidak jelas mengenai manfaat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), ialah antara faktor jumlah pekebun kecil persendirian yang mendapatkan pensijilan itu masih belum mencapai 100 peratus.
Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan, berkata hanya 50 peratus pekebun kecil persendirian memperoleh pensijilan MSPO, setakat ini, berbanding keseluruhan pekebun kecil tersusun sudah mendapatnya.
Beliau berkata, antara isu dibangkitkan pekebun kecil persendirian ialah mereka tidak jelas mengenai manfaat pensijilan MSPO dalam meningkatkan kualiti tanaman, yang berkait rapat dengan harga jualan komoditi itu.
“Antara manfaat boleh ditunjukkan daripada pensijilan MSPO ialah bukti peningkatan kualiti tanaman, termasuk melalui pertambahan kadar perahan minyak sawit kerana ia ada kaitan dengan harganya.
“Namun selepas lebih setahun pensijilan MSPO, pekebun kecil terbabit tidak nampak peningkatan itu.
“Justeru, kita perlu menunjukkan manfaat jelas untuk meyakinkan pekebun kecil supaya mendapatkan pensijilan MSPO,” katanya pada program Bicara BH bertajuk ‘MSPO: Kaedah Tangani Dengki Eropah dan Amerika Syarikat (AS) Terhadap Minyak Sawit Malaysia’, secara maya, hari ini.
Program dengan Datin Seri Fazilah Hani Harun sebagai moderator itu turut menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Mohammad Hafezh Abdul Rahman, sebagai ahli panel.
Mengulas lanjut, Adzmi berkata, ada pekebun kecil persendirian juga berdepan masalah untuk memenuhi kriteria ditetapkan dalam pensijilan MSPO, antaranya status tanah kebun kelapa sawit yang diusahakan.
Beliau berkata, ini berikutan ada dalam kalangan mereka yang menanam pokok sawit di atas tanah pertanian lain seperti sawah.
Namun, katanya, usaha menukar status tanah itu bagi memenuhi kriteria pensijilan MSPO bukan saja sukar, malah mereka berisiko didenda.
“Bayaran untuk kos mengubah status tanah itu tiada masalah tetapi isunya ialah denda.
“Justeru, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) perlu berunding dengan kerajaan negeri untuk mengetepikan denda dan mempermudahkan urusan itu,” katanya.
Mengulas cabaran dihadapi pekebun kecil ketika pandemik COVID-19 pula, Adzmi berkata, sekatan pergerakan menyebabkan beberapa pekebun kecil berdepan masalah, terutama jika kebun terletak di negeri berbeza dengan kediaman mereka.
Selain itu, beliau berkata, pekebun kecil yang mengupah pekerja asing juga berdepan isu kekurangan tenaga kerja, sekali gus memberi kesan terhadap kualiti buah dituai.
“Kebiasaannya, tempoh tuaian buah sawit bagi pekebun kecil ialah setiap 15 hari atau dua kali sebulan. Namun akibat pandemik, kitaran ini berlanjutan hingga sebulan sekali.
“Ini menyebabkan sebilangan buah sawit sudah busuk ketika dituai, yang menjejaskan kualitinya serta pendapatan pekebun kecil.
“Ketika harga sawit tinggi sekitar RM800 satu tan metrik sebelum ini, ramai pekebun kecil tidak dapat menikmati manfaatnya kerana pengeluaran buah di kebun mereka jatuh,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




