Pekebun sayur kena tipu, setahun rugi hampir RM1juta

Pekebun sayur kena tipu, setahun rugi hampir RM1juta

KUANTAN – Diumpan mendapat 50 peratus daripada tuntuan kematian waris namun akhirnya seorang pekebun sayur di Cameron Highlands berputih mata apabila rugi hampir RM1 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 69 tahun mula terpedaya tawaran sinidket jenayah atas talian menerusi medium Facebook sejak 30 Mac tahun lalu selepas menerima panggilan daripada suspek.

Menurutnya mangsa menerima panggilan melalui aplikasi facebook dari suspek yang menyamar sebagai pegawai bank, Barclays Bank of Dubai.

“Suspek telah memberi tawaran kepada mangsa bahawa mengaku sebagai saudara kepada individu yang mendeposit sebanyak USD 26,700,000 yang telah meninggal dunia.

“Mangsa telah dijanjikan sebanyak 50 peratus bahagian daripada tuntutan tersebut sekiranya bersetuju dengan tawaran tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Jelas Yahaya,  suspek kemudiannya menyambungkan talian kepada seorang peguam yang menguruskan segala transaksi atas bayaran yang dikenakan kepada mangsa seperti cukai, levi, bayaran anti-money laundering dan sebagainya.

Mangsa telah membuat sebanyak 70 kali transaksi ke dalam 26 akaun bank yang berbeza mulai 9 Mei 2023 hingga 11 Mac 2024 tetapi tidak mendapat sebarang bayaran sepertimana dijanjikan.

Tambah Yahaya, sumber kewangan mangsa adalah duit simpanan di akaun bank.

Polis menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan yang meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

“Sekiranya diminta untuk memberikan apa-apa maklumat perbankan, jangan dedahkan apa apa maklumat,” tegasnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top