Slug mahir-o
Pekerja mahir tanpa sijil berpeluang dapat pengiktirafan rasmi
Nor Syazrina Muhamad Tahir
syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pekerja mahir berpengalaman tanpa sijil rasmi kini berpeluang mendapat pengiktirafan di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652] yang dilihat sebagai langkah besar memperkukuh ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, pindaan yang dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat kelmarin menandakan anjakan penting dalam memperkasa tenaga kerja mahir tempatan.
Beliau berkata, peruntukan baharu yang memperkenalkan latihan modular dan mikro kredensial, selain pengiktirafan pembelajaran terdahulu serta penyusunan semula laluan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) akan memberi peluang kepada ribuan pekerja berpengalaman diiktiraf secara rasmi.
“MEF memuji inisiatif kerajaan untuk secara rasmi mengiktiraf kepakaran pekerja mahir yang memperoleh kemahiran melalui pengalaman kerja bertahun-tahun.
“Ramai antara pekerja seperti mekanik, juruteknik mesin, jurukimpal, juruelektrik dan juruteknik adalah tulang belakang industri Malaysia, namun tidak pernah mendapat peluang untuk memperoleh pensijilan rasmi.
“Pindaan itu akan membolehkan pekerja ini diiktiraf secara rasmi di bawah Kerangka Kelayakan Kemahiran Kebangsaan, sekali gus memberi mereka peluang mobiliti kerjaya ke atas, keboleh pasaran kerja dan kredibiliti profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan, pengenalan laluan latihan modular dan mikro kredensial adalah langkah yang tepat pada masanya dan progresif, selaras dengan keperluan pasaran buruh yang dinamik masa kini.
Katanya, latihan yang lebih pendek, fleksibel dan boleh disusun itu membolehkan pekerja dewasa meningkatkan kemahiran tanpa menjejaskan komitmen kerja, sekali gus membantu majikan mengurus keperluan tenaga kerja dengan lebih baik.
Menurut Syed Hussain, pendekatan itu juga memastikan peningkatan kemahiran dapat dijalankan tanpa mengganggu operasi perniagaan atau sumber pendapatan pekerja, sekali gus mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah tenaga kerja yang lebih berkemahiran tinggi dan berdaya saing.
“MEF juga menyokong usaha untuk memperkukuh akreditasi dan pemantauan pusat latihan.
“Memastikan hanya penyedia latihan yang layak dan berwibawa beroperasi di bawah kerangka kebangsaan akan melindungi pekerja dan majikan daripada kursus yang berkualiti rendah atau tidak diiktiraf.
“Hal ini penting untuk mengekalkan keyakinan industri terhadap kualiti ekosistem kemahiran Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa pindaan yang dicadangkan itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan bahawa pembangunan kemahiran mesti bersifat inklusif, mudah diakses dan dipacu oleh industri.
“MEF memuji Menteri Sumber Manusia, Steven Sim dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) kerana membabitkan pihak berkepentingan serta menyelaraskan pindaan ini dengan keutamaan tenaga kerja negara.
“MEF mengulangi komitmennya untuk bekerjasama rapat dengan KESUMA, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan rakan industri bagi memastikan pelaksanaan akta yang dipinda ini mencapai objektifnya untuk memperkasa pekerja Malaysia, meningkatkan produktiviti negara dan mengekalkan daya saing ekonomi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




