latifah@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan segera bagi mempercepatkan vaksinasi pekerja dalam sektor pembersihan.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata pihaknya akan menyenaraikam pekerja sektor itu dalam Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK).
“Insya-Allah, mereka akan dimasukkan ke dalam program vaksin MOVAK. Pihak kami sedang tunggu bekalan vaksin daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF),” katanya kepada BH, hari ini.
Zuraida berkata, pihaknya mengambil serius kebimbangan pekerja sektor pembersihan yang mengharapkan diberikan vaksinasi secepat mungkin.
Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dalam satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya kesal kerana majoriti pekerja dalam sektor pembersihan belum menerima suntikan vaksin COVID-19 walaupun perlu bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, menegaskan keutamaan wajar diberikan kepada pekerja sektor ini memandangkan kerajaan mengkategorikan pekerja pembersihan awam sebagai perkhidmatan perlu dan bekerja sejak PKP 1.0 sehingga PKP 3.0.
© New Straits Times Press (M) Bhd



