Pelajar bebas kritik kerajaan, PM – Anwar

PETALING JAYA: Mana-mana pelajar yang dikenakan tindakan disiplin hanya kerana bersuara atau mengkritik kerajaan, termasuk Perdana Menteri, perlu dibebaskan serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jaminan itu berkuat kuasa esok susulan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Katanya, ruang kebebasan harus diberikan sepenuhnya kepada golongan itu tanpa sebarang kekangan yang menghalang kegiatan mereka.

“Selagi tidak melanggar peraturan jenayah melibatkan polis dan universiti, maka pelajar harus dilepaskan serta-merta.

“Kalau ada yang dikenakan tindakan semata-mata kerana suara dan kritikan termasuk terhadap Perdana Menteri, saya rasa mulai esok mereka harus dilepaskan sepenuhnya,” katanya dalam Forum Ilmuwan Malaysia Madani Siri 13 ‘Pendidikan Masa Depan dan AUKU’ di Universiti Malaya di sini malam ini.

Beliau yang juga moderator forum itu percaya, gelanggang universiti berperanan besar sebagai medan untuk mengasah pemikiran kritis dan segar pelajar.

Sehubungan itu, katanya, kebebasan sama turut perlu diberikan kepada kakitangan akademik untuk menyuarakan pandangan dan kritikan masing-masing.

Namun, katanya, kebebasan itu perlu disokong oleh kajian terperinci dan pandangan yang berdasarkan hujah ilmiah.

“Dalam dunia ilmiah, pandangan golongan akademik tidak harus disekat atau dikongkong oleh beberapa peraturan atau dasar kerajaan.

“Perlu ada kesediaan memberikan ruang sepenuhnya untuk kajian asalkan mereka mampu mempertahankan hujah tersebut.

“Tetapi, janganlah kata Nabi Adam turun di Jerai manakala Saidatina Khadijah berasal daripada Bani Tamim, Tanah Melayu,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top