BAGAN SERAI: Hasrat seorang pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi terpaksa ditangguhkan apabila dia perlu memberi tumpuan kepada rawatan akibat masalah kesihatan yang dialaminya.
Aina Najwa Nazmi, 18, menghidap penyakit saraf kaki dan tidak boleh bergerak, menyebabkan dia menggunakan kerusi roda sejak lima tahun lalu.
Namun dia membuktikan ketabahan luar biasa apabila berjaya meraih keputusan 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Semanggol itu terpaksa menangguhkan impian untuk menyambung pengajian bagi memberi keutamaan kepada rawatan dan pemulihan kesihatan dirinya.
“Saya belum mendapat tawaran dari mana-mana pusat pengajian tinggi pada masa sekarang dan bercadang untuk sambung belajar di UiTM pada tahun depan.
“Buat masa ini saya mahu fokus kepada rawatan dahulu supaya tidak menjadi beban dan tidak mengganggu peluang saya memasuki pusat pengajian yang saya idamkan dalam jurusan yang saya minati,” katanya.
Dia ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Bahagian Bersatu Bagan Serai, Datuk Abdul Yunus Jamahri di Lembah Beriah, di sini hari ini.
Menurut Aina Najwa, sepanjang tempoh persekolahan, dia banyak bergantung kepada pembelajaran kendiri di rumah selain bantuan guru yang sentiasa memberi panduan serta bahan pembelajaran.
“Saya banyak belajar sendiri di rumah, buat latihan dan bertanya jika tidak faham. Kalau cikgu hantar pautan pembelajaran, saya akan ikut dari rumah,” ujarnya.
Bapanya, Nazmi Samsudin, 58, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan bimbang tentang keperluan kemudahan jika anaknya menyambung pengajian kelak.
“Saya memang berharap dia dapat sambung belajar kerana itu yang terbaik untuk masa depan dia. Cuma saya risau dari segi kemudahan di universiti, sama ada sesuai dengan keadaan dia atau tidak,” katanya.
Sementara itu, Abdul Yunus berberharap pihak berkaitan dapat membuka ruang dan peluang untuk Aina Najwa melanjutkan pengajian, khususnya ke UiTM. – UTUSAN




