am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Perjalanan pulang seorang pelajar Tingkatan Lima ke rumah, berakhir tragedi apabila dia maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram, di sini, semalam.
Dalam kejadian 2.15 petang itu, remaja lelaki berusia 17 tahun terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan awal mendapati lori tanpa muatan dipandu seorang lelaki, 26, dari jalan besar ke Jalan Parit Mahang.
Beliau berkata, mangsa pula dari Jalan Parit Mahang ke jalan besar untuk pulang ke rumahnya di Ijok.
“Tiba di lokasi, penunggang motosikal dari arah bertentangan disyaki hilang kawalan dan masuk ke laluan lori sebelum melanggar bahagian hadapan kenderaan berat berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan di seluruh badan. Dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Azaharudin berkata, penunggang motosikal sebelum itu menghadiri kelas tambahan di sekolahnya dan balik ke kediaman untuk meninggalkan barang.
“Mangsa kemudian menuju ke Kampung Parit Mahang untuk menghantar rakannya pulang. Selepas itu, dia terbabit dalam nahas.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah pemandu lori tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222, atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




