surayaroslan@mediaprima.com.my
Sepang: Seorang pelajar lelaki dari Maghribi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul penumpang wanita dalam pesawat dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur, kelmarin.
Remaja berusia 16 tahun itu membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 19 Februari depan untuk jatuh hukum dan laporan akhlak berikutan tertuduh adalah pesalah bawah umur.
Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang wanita warga tempatan berusia 26 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatannya.
Perbuatan itu dilakukan dalam pesawat EY418 penerbangan Etihad Airways dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur pada jam 12 tengah malam, 18 Disember lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun, atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu.
Mengikut fakta kes, semasa dalam penerbangan Etihad Airways dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur, mangsa duduk di kerusi bersebelahan dengan tertuduh.
Selepas kejadian itu berlaku, mangsa memanggil pramugari yang bertugas untuk memaklumkan perkara itu dan disarankan untuk membuat laporan polis untuk diambil tindakan selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1.
Tertuduh kemudian ditangkap di pekarangan Bahagian Siasatan Jenayah KLIA pada hari ini sebelum didakwa.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli menawarkan jaminan RM5,000 sementara menunggu laporan akhlak dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Bagaimanapun, peguam Ahmad Zahidi Afiq Mohd Zaid yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah sekitar RM1,000.
“Anak guam berasal dari Morocco (Maghribi), datang melancong dan melawat bapa saudara yang tinggal di Malaysia.
“Bapa saudara berusia 43 tahun sudi menjadi penjamin dan bekerja sebagai pelayan restoran di Bukit Bintang,” katanya.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, Muhammad Bukhori membenarkan jaminan RM1,500 dan dua penjamin tempatan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, lapor diri di balai polis berdekatan rumah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




