One Love Music Festival dibatalkan

One Love Music Festival dibatalkan

Kuala Lumpur: Acara One Love Music Festival yang sepatutnya berlangsung di MAEPS, Serdang esok terpaksa dibatalkan akibat kekurangan dana untuk menampung kos penganjuran.

Pengasas Tuff KL, Muhammad Zul Aqil selaku penganjur dalam satu kenyataan berkata, pembatalan saat-saat akhir itu terpaksa dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai cabaran yang dihadapi.

“Kami ingin menegaskan bahawa pembatalan ini tidak membabitkan mana-mana rakan strategik, penaja atau vendor yang terbabit. Tuff KL mengambil tanggungjawab penuh atas keputusan ini dan komited untuk menyelesaikan semua perkara berkaitan.

“Kami memahami kekecewaan peminat yang menantikan festival ini dan ingin memohon maaf atas kesulitan yang timbul. Pihak kami sedang menguruskan proses berkaitan pembatalan, termasuk pemulangan dana kepada pembeli tiket.

“Maklumat lanjut akan diumumkan melalui saluran rasmi kami, @olmfest_ dalam masa terdekat,” katanya dalam sebuah kenyataan rasmi.

Penganjur juga sangat bersyukur semua pihak yang terbabit secara langsung atau tidak sudah sedaya-upaya memberi sokongan terhadap penganjurannya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang sudah menyokong One Love Music Festival, termasuk penonton, artis, penaja, rakan strategik dan vendor.

“Sokongan anda amat kami hargai, dan kami berharap dapat bangkit semula dengan acara yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.

Antara penghibur yang dijadualkan beraksi pada acara itu termasuk Bunkface, Masdo, Hujan, Insomniacks, serta bintang popular dari Indonesia seperti Nadhif Basalamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top