PETALING JAYA: Pelakon, Janna Nick menasihatkan golongan artis yang berhasrat melanjutkan pengajian supaya membuat perancangan rapi sebelum mengambil keputusan untuk kembali bergelar pelajar.
Menurut Janna, keinginan untuk menambah ilmu merupakan sesuatu yang baik, namun setiap individu perlu mengambil kira kemampuan serta komitmen masing-masing bagi memastikan perancangan tersebut berjalan dengan lancar.
“Kalau ada pelakon yang berhasrat untuk menyambung pengajian, pada saya boleh tanamkan niat itu. Tetapi perlu ada perancangan yang betul, termasuk dari segi kewangan dan sebagainya.
Memuatkan artikel berkaitan…
“Paling penting, kena banyak berdoa. Kalau Allah izinkan perkara itu terjadi, ia akan terjadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Janna, kejayaan yang diperolehnya sepanjang melanjutkan pengajian di luar negara juga tidak dianggap sebagai hasil usaha sendiri semata-mata, sebaliknya turut bergantung kepada ketentuan Allah SWT.
“Kalau kita betul-betul mahukan sesuatu, kita kena panjatkan doa kerana apa sahaja kejayaan yang diperoleh akhirnya bukan disebabkan kuasa atau usaha saya sendiri. Kita hanya menjalani perjalanan itu, tetapi yang menentukan segala-galanya adalah Allah SWT,” jelasnya.
Dalam pada itu, Janna memahami kebimbangan sesetengah artis untuk berehat daripada kerjaya seni bagi menyambung pengajian kerana khuatir populariti yang dibina selama ini akan merosot.
Bagaimanapun, dia berpandangan perkara tersebut bergantung kepada matlamat dan keutamaan setiap individu dalam menentukan hala tuju kerjaya masing-masing.
“Bagi saya, populariti adalah sesuatu yang sementara. Sebab itu saya katakan semuanya memerlukan perancangan.
“Kalau seseorang pelakon itu masih mahu mengekalkan momentum popularitinya, mungkin boleh mengikuti pengajian secara pendidikan jarak jauh (PJJ) sambil terus bekerja.
“Walaupun bukan mudah, mereka perlu cuba bahagikan masa. Semuanya bergantung kepada matlamat masing-masing,” katanya.
Berkongsi pengalaman sendiri, Janna mengakui bukan mudah untuk kembali menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran selepas lebih sedekad memberikan tumpuan kepada kerjaya seni.
“Cabaran saya adalah kerana sudah lama meninggalkan persekitaran pembelajaran. Saya sudah bekerja lebih sedekad, kemudian tiba-tiba kembali belajar.
“Jadi, untuk mendapatkan semula momentum belajar itu agak sukar apatah lagi di sana pembelajarannya sepenuhnya menggunakan bahasa Inggeris. Tetapi selepas memasuki semester kedua dan ketiga, semuanya menjadi lebih mudah untuk saya,” ujarnya.
Terdahulu, Janna memaklumkan dia telah berjaya menamatkan pengajiannya dalam jurusan Sarjana Seni Pembikinan Filem di United Kingdom (UK) dengan cemerlang.
Susulan itu, Janna turut berkongsi perancangannya untuk memperlahankan kerjaya lakonan demi kekal fokus kerja di belakang tabir sebagai pengarah dan menghasilkan karya yang mampu mengangkat mutu industri perfileman tanah air ke aras yang lebih baik.




