SPRM berkongsi amalan terbaik menangani rasuah bersama ICPC

SPRM berkongsi amalan terbaik menangani rasuah bersama ICPC

mhafis@mediaprima.com.my

Cyberjaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkongsi amalan terbaik menangani rasuah bersama delegasi Suruhanjaya Amalan Rasuah Bebas dan Kesalahan Berkaitan Lain (ICPC), Nigeria sempena lawatan mereka ke Malaysia.

Pendedahan itu diberi ketika mereka mengadakan lawatan dan majlis ramah mesra diketuai pengerusinya, Dr Musa Adamu Aliyu, bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman di sebuah resort di, sini, minggu lalu.

Majlis berkenaan diadakan bersempena lawatan penandaarasan delegasi ICPC Nigeria ke SPRM, selain menjadi platform untuk kedua-dua agensi bertukar pandangan mengenai usaha pencegahan dan pembanterasan rasuah serta meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama antara SPRM dan ICPC Nigeria.

SPRM berkata, sepanjang lawatan penandaarasan itu, delegasi ICPC Nigeria turut diberi pendedahan mengenai fungsi dan pendekatan SPRM dalam aspek operasi, inisiatif pencegahan serta pembangunan kapasiti pegawai.

“Lawatan itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk berkongsi pengalaman dan amalan terbaik, sekali gus memperkukuh hubungan institusi antara SPRM dan ICPC Nigeria dalam menangani cabaran rasuah yang semakin kompleks dan merentasi sempadan.

“Majlis Ramah Mesra itu menjadi acara penutup kepada rangka lawatan rasmi delegasi ICPC Nigeria ke SPRM,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Delegasi ICPC Nigeria turut disertai Pengarah Bahagian System Study and Review, Olusegun Adigun; Pengarah Bahagian Special Services, Hassan Mohammed; serta Ketua Unit External Cooperation, Ahmed Abdul.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Pengurusan dan Profesionalisme), Datul Junipah Wandi, serta barisan pengarah kanan dan pengarah bahagian SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top